Sabtu, 5 Oktober 2019 | 8:00pm
MD Azhar Abd Jalil

Azhar intai podium CP150 di Kangar

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang makin gagah mengharungi cabaran ketika saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim 2019 hampir melabuhkan tirainya.

Kesungguhan barisan pelumbanya untuk berada dalam kelompok lima teratas terserlah dalam beberapa pusingan lalu termasuk pada saingan Pusingan 7 yang membuka tirainya di Litar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis hari ini.

Buktinya apabila Md Azhar Abd Jalil mencatat nama selaku pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di litar sepanjang 0.949 kilometer (km) itu dengan masa 40.759 saat (s).

Walaupun catatan dilakukan pelumba asal Selangor itu direkodkan sebagai masa terpantas sepusingan pada sesi kelayakan di litar berkenaan musim ini, namun ia masih gagal untuk mengatasi rekod lama (40.442s) dilakukan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) musim lalu.

Begitupun, ia tetap memberi kepuasan kepada Azhar yang bakal memulakan perlumbaan sebenar dalam kelompok hadapan esok.

Setakat ini, Azhar pernah muncul juara CP150 pada aksi Pusingan 4 di Teluk Intan sebelum ini selain menduduki tempat ketiga pada kempen Pusingan 6 dua minggu lalu.

 

Keputusan sesi kelayakan CP150 (Lima teratas)

Md Azhar Abd Jalil (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing 40.759s

Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.846s

Nazirul Izzat Md Bahauddin (MEL) ONEXOX TKKR SAG Team – 40.902s

Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.923s

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.969s

 

 

Berita Harian X