Sabtu, 5 Oktober 2019 | 12:09pm
Muizzuddin (kiri) bersama penganjur F4 SEA, Peter Thompson.

Muizzuddin bersemangat harungi F4 SEA

KUALA LUMPUR: Pelumba negara Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar dijadual mengharungi dua pusingan kemuncak Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan dengan penuh motivasi dalam dirinya. 

Muizzuddin Musyaffa atau lebih senang dipanggil Muizz masih berbaki lapan perlumbaan dalam dua pusingan yang dijadual beralih ke laman sendiri, SIC - 22 hingga 24 November dan 13 hingga 15 Disember - berbanding kalendar asal di Litar Speedway Clark seperti sebelum ini. 

Muizz kini menduduki tangga ketiga keseluruhan carta pemandu dengan 354 mata dan pelajar yang dijadual menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ketinggalan 173 mata di belakang pendahulu dari Finland, Elias Seppanen dan mempunyai jurang 129 mata dengan penghuni tangga kedua, Lucca Allen (Ireland). 

Dia juga berdepan cabaran daripada pemandu dari Oman, Shibab Al-Habsi yang ketika ini meraih 338 mata dan berada di tangga keempat keseluruhan. 

Namun Muizz mempunyai tonik berharga menjelang perlumbaan di Sepang dengan meraih empat penamat di pentas podium pada pusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu lalu. 

"Memang jauh (jarak mata). Jika saya dapat lakukan seperti di Sepang, walaupun kurang baik tetapi ia cukup membantu,” kata Muizz yang pernah dinobatkan Anugerah Atlet Muda Terbaik Anugerah Sukan SAM-100Plus pada tahun 2014. 

Mengulas mengenai perancangan musim depan, Muizz yang memasuki tahun keduanya dalam kejuaraan ini berkata: "Buat masa ini, tidak ada sebarang perancangan lagi kerana memberi tumpuan kepada SPM. Mungkin selepas peperiksaan, akan buat perancangan."

Berita Harian X