Ahad, 22 September 2019 | 8:45pm
Azlan (tengah) memenangi Perlumbaan 2 di Sepang dengan catatan keseluruhan terpantas 23 minit 29.755 saat, mengatasi 1.255s di depan pelumba Thailand dari pasukan Kawasaki Thailand Racing Team, Thitipong Warakorn (kiri). - Foto BERNAMA
Azlan (tengah) memenangi Perlumbaan 2 di Sepang dengan catatan keseluruhan terpantas 23 minit 29.755 saat, mengatasi 1.255s di depan pelumba Thailand dari pasukan Kawasaki Thailand Racing Team, Thitipong Warakorn (kiri). - Foto BERNAMA

Azlan buru tuah Buriram

KUALA LUMPUR: Azlan Shah Kamaruzaman kini mengharapkan Litar Antarabangsa Buriram menyajikan 'tuah' buat dirinya apabila hanya 19 mata menjadi pemisah dengan pendahulu carta keseluruhan kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Broc Parkes. 

Selepas meraih dua kemenangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pelumba ONEXOX TKKR SAG Team itu lebih bersedia untuk mengharungi cabaran kemuncak musim di Thailand pada 29 November hingga 1 Disember ini meskipun pertembungan di litar sama pada Pusingan 3, Jun lalu memihak kepadanya. 

Begitupun, Azlan tidak mahu menaruh harapan tinggi apatah lagi pencabarnya terutama daripada pelumba pasukan Yamaha Racing Team ASEAN, Parkes pasti akan melakukan sesuatu yang 'luar biasa' di Buriram nanti.

Aksi pelumba ONEOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Iskandar Kamaruzaman (depan). - Foto BERNAMA
Aksi pelumba ONEOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Iskandar Kamaruzaman (depan). - Foto BERNAMA

"Saya tak mahu menaruh harapan tinggi sebab tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri," kata Azlan yang turut menggemari trek di Buriram.

“Apabila bersaing merebut gelaran keseluruhan dan diri berada dalam tekanan, sukar untuk saya menunggang motosikal. Jadi saya hanya fikir untuk menghabiskan perlumbaan dan buat yang terbaik seperti dilakukan di sini (Sepang) dan lakukan perkara sama di Buriram nanti. 

"Apa yang saya nampak daripada perlumbaan sebelum ini (di Buriram), Parkes agak serasi dengan trek itu. Di pusingan terakhir nanti, saya akan lihat bagaimana persaingan di sana dan apa yang pasti, ramai pelumba akan berada di depan.”

Azlan memenangi Perlumbaan 2 di Sepang dengan catatan keseluruhan terpantas 23 minit 29.755 saat, mengatasi 1.255s di depan pelumba Thailand dari pasukan Kawasaki Thailand Racing Team, Thitipong Warakorn. 

Melengkapkan pentas podium bagi kelas perdana itu adalah rakan sepasukan Warakorn, Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) yang menemui garisan penamat dengan catatan, 23:31.465s.

Kelas ASB1000cc mula diperkenalkan pada musim ini, tambahan kelas baharu dalam saingan peringkat Asia selepas SuperSport 600cc, AP250 dan UB150cc.

 

Info

Kedudukan keseluruhan ASB1000cc

1. Broc Parkes (AUS/Yamaha Racing Team ASEAN) 212 mata

2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS/ONEXOX TKKR SAG Team) 193 mata

3. Zaqhwan Zaidi (MAS/Honda Asia Dream Racing with SHOWA) 166 mata

4. Yuki Ito (JPN/Yamaha Racing Team ASEAN) 141 mata

5. Apiwat Wongthananon (THA/Yamaha Thailand Racing Team) 140 mata

Berita Harian X