Jumaat, 20 September 2019 | 10:01pm
Aksi Zaqhwan di litar Sepang.
Aksi Zaqhwan di litar Sepang.

Zaqhwan, Azlan sedia ulang kejayaan

KUALA LUMPUR: Hari pertama saingan Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini seakan memberi bayangan awal betapa dua pelumba negara bakal mengulangi skrip sama seperti ketika saingan pembuka tirai kempen 2019 di trek sama, Mac lalu. 

Pada sesi latihan bebas hari ini, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia Dream Racing With SHOWA dan Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX TKKR SAG Team) - yang memenangi Perlumbaan 1 dan 2, Mac lalu - masing-masing berada dalam kelompok tiga perlumba terpantas dalam tiga sesi latihan bebas kelas ASB1000cc termasuk pendahulu keseluruhan, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN).

Azlan menguasai sesi latihan bebas pertama dan kedua dengan catatan terpantas 2:07.492 saat dan 2:06.902s sebelum Zaqhwan mendominasi sesi ketiga, mencatat masa terpantas, 2:06.502s.

Merumuskan saingan hari ini, Zaqhwan yang memenangi Perlumbaan 1 di Zhuhai, China bulan lalu berkata: "Buat masa ini, persiapan daripada segi mental dan fizikal adalah baik. Keupayaan jentera juga stabil. Sasaran saya hanya satu iaitu untuk menampilkan yang terbaik bagi memburu kemenangan.”

Ketika ini, Zaqhwan sudah mengumpul 153 mata untuk berada di tangga kedua carta keseluruhan dan ketinggalan 35 mata di belakang pendahulu, Parkes manakala Azlan ketiga, 143 mata. 

Sementara itu, dalam kelas SuperSport 600cc, pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin menguasai ketiga-tiga sesi latihan bebas dengan catatan 2:10.584s diikuti 2:10.113s (sesi kedua) dan 2:10.223s pada sesi ketiga.

Berita Harian X