Sabtu, 7 September 2019 | 7:33pm
AKSI Amirul pada sesi kelayakan kelas CP 150 Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan.

Amirul terpantas di Teluk Intan

KUALA LUMPUR: Pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Tengku Amirul Haffirudin memberi amaran awal apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang membuka tirai di Teluk Intan, Perak hari ini.

Amirul menamatkan sesi berkenaan dengan catatan sepusingan terpantas 51.185 saat (s), meninggalkan pelumba pilihan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan perbezaan masa 0.176s.

Pencapaian yang diraih pelumba asal Terengganu itu membolehkannya untuk menduduki barisan hadapan pada saingan Superpole, esok.

Sementara itu, catatan dilakukan Amirul itu pastinya bakal memberi keyakinan tambahan kepadanya untuk mempamerkan tunggangan cemerlang pada perlumbaan sebenar nanti di litar kegemarannya itu.

“Litar di Teluk Intan bukan asing buat saya," kata Amirul yang pernah meraih beberapa penamat podium di Teluk Intan ketika menyertai kelas CP115.

"Saya pernah beberapa kali mencipta kemenangan di litar ini. Momentum cemerlang pasukan kami dalam beberapa pusingan lalu turut memainkan peranan untuk mendorong saya tampil cemerlang.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pencapaian hari ini, pengurus pasukan, Pang Yok You berkata: "Saya agak puas hati terutama dengan persiapan kami bagi menghadapi saingan di Teluk Intan. Prestasi jentera juga baik, tetapi ia akan menjadi lebih baik kalau kami menang."

Afif yang memenangi kelas CP150 pada saingan di Teluk Intan musim lalu, menamatkan sesi kelayakan dengan catatan masa 51.361s untuk berada di kedudukan kedua terpantas manakala Md Aiman Tahiruddin di tempat ketiga dengan 51.629s.

287 dibaca
Berita Harian X