Ahad, 1 September 2019 | 11:38pm
Charles Leclerc (dua dari kanan) mendedikasi kemenangan sulungnya di Formula Satu (F1) kepada rakannya, Anthoine Hubert, yang terbunuh susulan kemalangan ketika perlumbaan F2 di Grand Prix (GP) Belgium. - Foto AFP

Leclerc dedikasi kemenangan GP Belgium kepada Hubert

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Charles Leclerc mendedikasi kemenangan sulungnya di Formula Satu (F1) kepada rakannya, Anthoine Hubert, yang terbunuh susulan kemalangan ketika perlumbaan F2 di Grand Prix (GP) Belgium, semalam.

Hubert, 22, maut berikutan kecederaan parah yang dihadapinya akibat kemalangan ngeri ketika perlumbaan Formula Dua (F2), semalam yang turut membabitkan sebuah lagi jentera di selekoh berkelajuan tinggi, Raidillon, di pusingan kedua.

Leclerc kelahiran Monaco memenangi perlumbaan GP Belgium dari petak utama perlumbaan untuk menghadiahkan Ferrari kemenangan yang amat dinanti-nantikan dan pertama buat pasukan itu pada musim ini.

Sejurus perlumbaan, Leclerc berkata kepada pasukannya menerusi radio: “Kemenangan pertama saya di F1. Ini adalah untuk Anthoine. Perasaannya cukup baik, tetapi sukar untuk menikmati minggu seperti ini.”

Ketika ditemuramah selepas perlumbaan, pelumba berusia 21 tahun itu menambah: “Pada satu masa, impian saya sejak kecil berjaya direalisasikan.

“Tetapi pada masa sama, ia adalah minggu yang amat sukar sejak semalam, pertama sekali kami kehilangan rakan dan menghadapi situasi seperti ini amat sukar.

“Saya mahu mendedikasikan kemenangan pertama saya kepadanya. Kami membesar bersama, perlumbaan pertama saya dengan Anthoine adalah ketika kami masih kecil dan amat menyedihkan apa yang berlaku semalam.

“Saya tidak boleh menikmati sepenuhnya kemenangan pertama saya tetapi ia sudah tentu akan menjadi memori yang akan saya kenang sampai bila-bila.”

Leclerc berjaya mengetepikan saingan sengit lewat daripada penyandang juara dunia, Lewis Hamilton di penghujung perlumbaan sebelum memenanginya dengan kelebihan kurang satu saat.

“Kami bergelut sedikit dengan tayar ketika penghujung perlumbaan tetapi pada akhirnya, saya amat gembira berbanding apa yang berlaku kepada saya di Budapest. Ia lebih baik tetapi Mercedes amat pantas ketika perlumbaan dan ia seperti dijangka.” - Agensi

Berita Harian X