Isnin, 15 Julai 2019 | 12:05am
Pemandu Mercedes 'Lewis Hamilton melemparkan trofi di udara ketika dia merayakan kemenangan perlumbaan di podium, bersama Valtteri Bottas, yang menduduki tempat kedua, dan pemandu Ferrari, Charles Leclerc, yang menduduki tempat ketiga perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Hamilton tawan GP British

SILVERSTONE: Lewis Hamilton memanfaat sepenuhnya kehadiran kereta keselamatan untuk merekod kemenangan keenamnya di perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, sebentar tadi.

Penyandang juara dunia itu turut merekod catatan terpantas litar pada pusingan terakhirnya dan menamatkan perlumbaan 25 saat di depan rakan sepasukannya di Mercedes AMG PETRONAS, Valtteri Bottas.

Selepas mengharungi perlumbaan penuh mendebarkan, kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan Hamilton kini mengumpul kelebihan 39 mata di depan Bottas.

Pada perlumbaan berkenaan, campur tangan kereta keselamatan membuka ruang buat Hamilton untuk melakukan hentian pit ‘percuma’ dengan pelumba pelumba Ferrari, Charles Leclerc melengkapkan kedudukan podium.

“Hari yang menakjubkan. Kepada semua penonton, terima kasih kerana hadir,” kata Hamilton yang turut memperlahankan jenteranya untuk mengambil bendera British 'Union Jack'.

“Saya sayangkan kamu Silverstone. Saya menghargai segala-galanya dan peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya. Saya tidak boleh melakukannya tanpa kamu semua atau tanpa pasukan saya.”

Lewis Hamilton dirai peminat dan pegawai pasukan selepas menjuari perlumbaan Formula Satu GP British, sebentar tadi. - Foto EPA

Lewis Hamilton menjulang trofi kejuaraan pada perlumbaan Formula Satu Grand Prix British, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Bottas sekali lagi mengakui perlumbaan kali ini bukan untuknya.

“Tahniah kepada Lewis... Ia bukan hari saya,” kata pelumba kelahiran Finland itu.

Leclerc dalam pada itu berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan podium: “Ia mungkin perlumbaan yang paling saya nikmati dalam karier saya.”

Kereta keselamatan terpaksa memasuki litar apabila jentera pelumba Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi terbabas ke kawasan berbatu yang memberikan Hamilton hentian pit ‘percuma’ dan satu-satunya hentian pit dalam perlawanan itu dengan Bottas menggunakan strategi dua hentian pit.

Pelumba Red Bull, Pierre Gasly menamatkan perlumbaan di tangga keenam diikuti rakan sepasukannya, Max Verstappen yang perlumbaannya terganggu selepas jenteranya dilanggar pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan pelumba McLaren, Carlos Sainz.

Kemenangan di Silverstone adalah yang ketujuh Hamilton daripada 10 pusingan tahun ini dan ke-80 dalam kariernya. - AFP

Berita Harian X