Isnin, 1 Julai 2019 | 12:08am
Max Verstappen (tengah) memenangi Grand Prix Austria di Spielberg, Austria. Pemandu Ferrari Charles Leclerc (kiri) di tempat kedua manakala Valtteri Bottas meraih tempat ketiga. - Foto EPA
Max Verstappen (tengah) memenangi Grand Prix Austria di Spielberg, Austria. Pemandu Ferrari Charles Leclerc (kiri) di tempat kedua manakala Valtteri Bottas meraih tempat ketiga. - Foto EPA

Verstappen ungguli GP Austria

SPIELBERG, Austria: Pemandu Red Bull, Max Verstappen memenangi Grand Prix Austria untuk tahun kedua berturut-turut sebentar tadi, manakala Mercedes tewas buat kali pertama musim ini.

Pemandu Ferrari Charles Leclerc, yang bermula dari petak depan, di tempat kedua selepas berusaha keras menghalang Verstappen sebelum pemandu Belanda itu memintasnya ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.

Pada usia 21 tahun, kedua-dua pemandu itu mencatat rekod sebagai penamat satu dua paling muda dalam sejarah Formula Satu.

Valtteri Bottas dari Mercedes di tempat ketiga dengan rakan sepasukannya yang mendahului kejuaraan, Lewis Hamilton yang memenangi empat perlumbaan sebelum ini, kelima di belakang Sebastian Vettel dari Ferrari.

Juara dunia lima kali Hamilton kekal mendahului kejuaraan pemandu, 31 mata di depan Bottas selepas sembilan daripada 21 perlumbaan.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat jentera Honda sejak Jenson Button dari Britain menang di Hungary pada tahun 2006 untuk pasukan pengeluar dari Jepun itu.

Ia turut menamatkan penguasaan Mercedes yang memenangi 10 perlumbaan berturut-turut, termasuk dua dari musim lalu.

“Bagi Honda untuk menang sekali lagi di sini sangat menakjubkan,” kata Verstappen. - REUTERS

Berita Harian X