Rabu, 12 Jun 2019 | 7:38pm
Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah akui tidak keberatan untuk turun semula ke kancah Moto2.
Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah akui tidak keberatan untuk turun semula ke kancah Moto2.

Hafizh Syahrin belum buat keputusan

KUALA LUMPUR: Masih belum ada keputusan muktamad diambil oleh Hafizh Syahrin Abdullah berhubung masa depannya dalam kelas MotoGP tahun depan ketika pelumba Red Bull KTM Tech3 itu mengakui tidak keberatan untuk 'turun semula' ke kancah Moto2.

Hafizh yang memasuki tahun kedua dalam kelas perdana itu musim ini mengulas mengenai pelbagai khabar angin mengenainya dan menyatakan, betapa dia tidak menghiraukan spekulasi yang tersebar luas sedangkan dirinya lebih tahu mengenai apa yang berlaku di sekitar paddock.

"Saya lebih tahu daripada orang di luar. Tak salah sekiranya saya membuat keputusan untuk turun ke Moto2 ataupun kekal di MotoGP. Kalau boleh saya nak kekal tetapi kalau boleh juga, saya ingin dapatkan peluang terbaik...bukan saya kata pada tahun pertama atau kedua ini bukan peluang terbaik (untuk dirinya).

"Pada tahun pertama saya dapat peluang terbaik bersama Yamaha. Walaupun saya dapat pakej Yamaha yang tidak seperti Johann (Zarco) - ada 'winglet' dan sebagainya. Biarpun begitu, saya sudah memberikan saingan dan ada pada beberapa perlumbaan, saya berada (penamat) dalam kelompok 10 terbaik.

"Apabila tahu pasukan beralih ke KTM, saya jangka 'KTM Factory' dapat membantu saya tetapi agak sukar. Jadi jangkaan itu berbeza daripada apa yang diinginkan. Apa pun, saya perlu berusaha keras dan percaya yang saya mampu memberi saingan kepada pelumba Eropah... cuma tak dapat peluang seperti yang saya inginkan.

"Namun, saya akan cuba yang terbaik dan kalau turun ke Moto2, saya akan bersaing sebaik mungkin untuk kembali ke MotoGP."

Selepas enam pusingan musim, Hafizh hanya sekali menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik yang menjanjikan kutipan mata iaitu di Grand Prix (GP) Perancis, 19 Mei lalu dengan berada di tempat ke-14 di Litar Le Mans untuk meraih dua mata.

Begitupun, Hafizh tidak menyalahkan pasukan atas apa yang berlaku kepadanya tahun ini dengan berkata:"Saya tak kata yang pasukan untuk tahun kedua ini tidak memberikan pakej terbaik cuma saya tak dapat serasi lagi dengan KTM kerana KTM baru memasuki tahun ketiga dalam Kejuaraan Dunia.

"Kalau dibandingkan saya dengan Pol Espargaro (pelumba Red Bull KTM Factory Racing)... memang Pol laju kerana dia sudah mempunyai pengalaman selama tiga tahun (bersama KTM) dan kalau diikutkan, saya dan Zarco (rakan sepasukan Espargaro) juga agak bergelut dari satu ke satu perlumbaan."

Sehingga setakat ini, hanya Hafizh yang belum ditawarkan kontrak baharu oleh KTM tatkala rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira sah bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020. Espargaro dan Zarco pula mempunyai kontrak bersama pengeluar dari Austria itu sehingga tahun depan.

Berita Harian X