X
Sabtu, 1 Jun 2019 | 9:23pm
John McPhee.
John McPhee.

McPhee, Sasaki yakin dapat kejar kelompok depan

 

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee yakin dapat mengejar kelompok depan pada hari perlumbaan Grand Prix (GP) Itali apabila dijadual memulakan 20 pusingan dari petak ke-18, esok. 

Pemenang kelas Moto3 di GP Perancis dua minggu lalu itu mencatat 1 minit 58.122 saat pada sesi kelayakan kedua selepas mengharungi detik sukar mencari catatan masa lebih baik di Sirkit Mugello, hari ini. 

Bagaimanapun, pelumba dari Scotland berusia 24 tahun itu optimis untuk mengejar kelompok depan diketuai Tony Arbolino dari pasukan VNE Snipers. 

"Saya tak dapat tunjukkan potensi sebenar saya (pada sesi kelayakan)," kata McPhee yang ketika ini berada di tangga kesembilan keseluruhan kelas Moto3 dengan 34 mata. 

"Untuk perlumbaan esok, saya sangat yakin dan kuat ketika menunggang. 

"Ini bukan satu grid permulaan yang bagus. Saya mahu kembali berada dalam kelompok depan dalam perlumbaan nanti. Saya mempunyai kelajuan untuk berada dalam kelompok depan selagi saya boleh kekal bersama mereka dalam 10 pusingan pertama. 

"Saya boleh berada dalam kelompok itu dalam lima ataupun enam pusingan awal, apapun kita lihat apakah yang berlaku nanti. Fokus utama saya adalah pada pusingan pertama saingan, ini kerana ia penting untuk meletakkan di manakah kedudukan saya sehinggalah dapat berada di dalam kelompok depan."

Sementara itu rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-19 selepas mencatat 1'58.235s. 

"Kami mempunyai kelajuan dan sistem brek lebih baik daripada di Perancis. Di trek ini, banyak perkara boleh berlaku kerana laluan lurus yang laju. Kami perlu fokus dan cuba berada di depan dengan cepat. 

"Ini adalah antara trek kegemaran, jujurnya saya tak gembira dengan kesudahan sebegini hari ini. Untuk perlumbaan esok, saya perlu fokus dan mencari kedudukan penamat sepatutnya," kata Sasaki yang menamatkan saingan musim lalu di trek Mugello di tempat ke-16.

Berita Harian X