Sabtu, 1 Jun 2019 | 6:23pm
Azlan Shah ketika beraksi di Litar Buriram, Thailand.
Azlan Shah ketika beraksi di Litar Buriram, Thailand.

Azlan Shah juara di Buriram

 

KUALA LUMPUR: Azlan Shah Kamaruzaman meraih kemenangan keduanya musim ini dalam kelas ASB1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) apabila mengungguli Perlumbaan 1 Pusingan 3 di Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand sebentar tadi. 

Kemenangan buat pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing ini hadir selepas kali terakhir diraih pada pusingan pembuka tirai di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Mac lalu. 

"Sedikit sukar pada awal perlumbaan kerana faktor cuaca yang tidak menentu," kata bekas pelumba Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia itu. 

"Disebabkan itu, saya mengambil pendekatan berhati-hati. Selepas bersaing sengit di kelompok depan, saya dapat memenangi perlumbaan ini." 

Rakan senegara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa muncul naib juara manakala Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) melengkapkan pentas podium.

Dalam kelas Underbone 150cc, Md Akid Aziz dari pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team tampil garang memenangi Perlumbaan 1 di litar sepanjang 4.5 kilometer itu. 

Akid menemui garisan penamat dengan catatan 16 minit 25.633 saat sekali gus menebus kekecewaannya pada Pusingan 1 di SIC. 

Pelumba Indonesia, Richard Richie Taroreh (Pro-Liner 549 KABOCI Racing Team) muncul naib juara dengan catatan 16:25.776s. 

Tempat ketiga dimenangi  pelumba berpengalaman negara, Md Affendi Rosli dari pasukan Team One For All.

"Saya hanya mengikut rentak dan pada masa yang sama perlu berada dekat dengan pendahulu perlumbaan. Saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk melancarkan asakan dan strategi ini berhasil. 

"Pada pusingan terakhir, saya mengerah segala yang ada untuk memintas pelumba lain dan ia berkesudahan dengan sempurna sehingga ke garisan penamat," kata Akid yang memulakan saingan dari petak utama.

Berita Harian X