Jumaat, 31 Mei 2019 | 10:17pm
PELUMBA Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) John Mcphee. NSTP/Luqman Hakim Zubir
PELUMBA Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) John Mcphee. NSTP/Luqman Hakim Zubir

McPhee 5 terpantas latihan bebas GP Itali

KUALA LUMPUR: John McPhee memulakan hari pertama Grand Prix (GP) Itali dengan langkah positif apabila berada dalam kelompok lima terpantas bagi sesi latihan bebas yang berlangsung hari ini.

Berlangsung di Litar Mugello, pelumba Moto3 pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu mencatat masa sepusingan terpantas pada sesi kedua dengan catatan 1 minit 57.648 saat sekali gus memperbaiki catatannya pada sesi sebelah pagi, 1'58.360s.

Mengungguli carta keseluruhan bagi sesi latihan hari ini adalah Tatsuki Suzuki dari pasukan SIC58 Squadra Corse yang mencatat masa terpantas, 1'57.467s.

Mengulas mengenai prestasinya hari ini, McPhee yang membawa momentum kemenangan di GP Perancis dua minggu lalu berkata: "Selepas di Le Mans, kami mempunyai kekuatan dan pada empat sesi pada minggu itu, saya adalah yang terpantas.

"Bagaimanapun, Mugello adalah sebuah litar berbeza dan mempunyai karakter yang sama sekali berlainan.

"Untuk esok, kami akan melakukan dengan usaha sebegini. Sesi kelayakan akan menjadi sesuatu yang penting tetapi saya dapat merasakan keselesaan ketika menunggang. Pasukan juga sudah berusaha dengan begitu baik sekali."

Sementara itu, rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki menamatkan hari pertama saingan di tempat ketujuh dengan catatan terpantasnya, 1'57.709s.

"Pada sesi latihan bebas pertama agak sukar kerana trek ini lebar dan panjang. saya pernah beraksi di sini tahun lalu tetapi sukar untuk saya mengingati segala-galanya.

"Saya perlu membiasakan diri dengan trek dan ini menyebabkan saya tidak begitu laju di sesi latihan bebas pertama selain permukaan trek juga seperti tidak rata di sesetengah bahagian.

"Angin juga kuat dan banyak perlu yang perlu saya perbaiki pada sesi seterusnya nanti," kata Sasaki.

Berita Harian X