Jumaat, 31 Mei 2019 | 4:25pm
FRANCO Morbidelli
FRANCO Morbidelli

GP Itali: Perasaan Morbidelli, Pasini bercampur baur

KUALA LUMPUR: Franco Morbidelli dan Mattia Pasini dijadual beraksi pada saingan grand prix (GP) di laman sendiri minggu ini dengan masing-masing mempunyai perasaan bercampur-baur di Litar Mugello, Itali.

Morbidelli selaku pelumba kelas MotoGP bakal membuat penampilan pertama bersama pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT) musim ini ketika trek Mugello dianggapnya banyak meninggalkan kesan emosi pada dirinya.

"Saya sangat gembira untuk ke Mugello," kata Morbidelli yang menamatkan perlumbaan musim lalu di GP Itali di tempat ke-15.

"Satu perlumbaan yang sentiasa penuh dengan emosi untuk saya. Saya juga berasa sedikit tekanan kerana tidak pernah meraih keputusan yang bagus di sini, namun ia adalah satu GP yang menyeronokkan di hadapan penyokong Itali sendiri.

MATTIA Pasini
MATTIA Pasini

"Kami akan cuba menjadi lebih pantas dan mencapai keputusan yang lebih baik. Keputusan setakat ini sangat bagus dan saya berasa yakin ketika menunggang. Saya berharap dapat bersaing dalam satu perlumbaan yang bagus."

Sementara itu rakan senegaranya, Pasini yang menggantikan sementara slot Khairul Idham Pawi di pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing yang masih dalam proses rawatan susulan daripada pembedahan jari kelingking, nyata mempunyai rekod yang lebih positif di GP Itali.

Pelumba berpengalaman berusia 33 tahun dari Rimini itu pernah meraih kemenangan dalam kelas pertengahan berkenaan pada tahun 2017, satu kemenangan dalam kelas 250cc (2009) dan 125cc (2006).

"Mugello adalah sebuah trek yang saya gemari dan saya pernah beberapa kali merangkul kemenangan di sana. Saya sentiasa pantas di sana dan saya berharap minggu ini menyediakan sesuatu yang lebih baik.

"Kami akan berusaha gigih bersama pasukan untuk setidak-tidaknya berada dalam kelompok lima terbaik tatkala objektif utama saya sentiasa mahukan kemenangan. Mugello sentiasa menjadi trek istimewa kerana penyokongnya, saya secara peribadi menganggapnya sebagai sebuah trek tercantik di dunia," kata Pasini.

Pasini membuat kemunculan positif bersama pasukan di GP Perancis dua minggu lalu, apabila berjaya menempah grid keempat pada sesi kelayakan.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila terbabit dalam satu kemalangan di Selekoh 10 pada hari perlumbaan yang menyebabkan dirinya tidak dapat meneruskan saingan.

Berita Harian X