Selasa, 28 Mei 2019 | 1:35pm
HAFIZH Syahrin Abdullah. - Foto Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
HAFIZH Syahrin Abdullah. - Foto Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Motivasi Hafizh ke Mugello

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah bakal ke Sirkit Mugello di Itali dengan berbekalkan motivasi dua mata yang diraihnya di Grand Prix (GP) Perancis, 19 Mei lalu. 

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu menamatkan 27 pusingan saingan di Sirkit Le Mans di tempat ke-14, penamat dalam kelompok pungutan mata sulung buat dirinya musim ini. 

"Saya amat menantikan untuk ke Mugello selepas minggu yang baik di Le Mans, yang memberikan saya lebih motivasi," kata Hafizh yang memasuki tahun keduanya dalam kelas perdana MotoGP.

"Ia juga membolehkan saya terus mempercayai diri sendiri dan pasukan kerana kami harus berusaha lebih gigih selaku sebuah unit. 

"Kami tahu yang kami perlu meningkatkan beberapa isu kecil, yang boleh membantu kami bersaing posisi lebih baik dalam perlumbaan akan datang. Saya Tidak sabar untuk tiba di Itali. 

"Saya tahu, ia akan menjadi sukar, tetapi kami ingin tahu apakah yang akan berlaku di sana nanti. Saya harap, saya memperoleh perasaan yang lebih baik dari sesi FP1 (latihan bebas 1) lagi bagi merapatkan jurang dengan pelumba lain. 

"Ini dapat membantu saya untuk memahami situasi semasa dengan lebih baik. Saya harap, kami dapat meraih mata setidak-tidaknya sama seperti keputusan pada pusingan sebelum ini dan kami akan cuba mempertingkatkan kemampuan."

Selepas lima pusingan musim, Hafizh, 25, kini berkongsi dua mata bersama pelumba Reale Avintia Racing, Tito Rabat dan berada di tangga ke-21 keseluruhan. Rakan sepasukannya, Miguel Oliveira ke-18 dengan lapan mata. 

Pada musim lalu ketika pasukan menggunakan jentera Yamaha, Hafizh berjaya menemui penamat ke-12 untuk membawa pulang empat mata di Sirkit Mugello.

Berita Harian X