Isnin, 20 Mei 2019 | 7:26am
JOHN McPhee. - Foto AFP
JOHN McPhee. - Foto AFP

McPhee lonjak semangat pasukan PETRONAS Sprinta Racing

LE MANS : Kejayaan John McPhee meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Perancis menamatkan penantiannya selama empat tahun buat pasukan PETRONAS Sprinta Racing untuk berada di pentas podium. 

Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, beliau gembira dengan pencapaian pelumba dari Scotland itu dan percaturan mengambilnya pada tahun lalu jelas membuahkan hasil.

"Aspek terbaik mengenai minggu ini adalah meraih kemenangan dalam kelas Moto3 bersama John McPhee. 

"Kami sudah menantikan detik kemenangan ini sejak 2015 dan akhirnya dapat meraihnya minggu ini. 

RAZLAN Razali
RAZLAN Razali

"Saya sangat gembira untuk pasukan - dan tentunya John (McPhee). Kami menandatanganinya pada musim sejuk lalu kerana pasukan tahu yang dia mampu untuk mengecapi kemenangan," kata Razlan. 

McPhee memulakan perlumbaan di Sirkit Le Mans dari petak utama dan menamatkan 22 pusingan dengan catatan keseluruhan 37 minit 48.689 saat untuk berada di pentas podium. 

Perlumbaan pusingan keenam musim selepas ini dijadual berlangsung di Sirkit Mugello, Itali pada 2 Jun ini. 

"Saya harap dia dapat mengekalkan momentum seperti ini di pusingan akan datang," kata Razlan yang turut mahu seorang lagi pelumba Moto3 pasukan, Ayumu Sasaki untuk menilai semula perlumbaan selepas menamatkan saingan di tempat ke-14. 

"Ayumu Sasaki perlu menilai dan melihat semula perlumbaan disertai kerana dia mempunyai potensi untuk melakukan yang lebih baik di Mugello berbanding apa diraihnya minggu ini," kata Razlan. 

McPhee kini melonjak ke kedudukan kesembilan keseluruhan dengan 34 mata manakala Aron Canet mendahului carta pelumba Moto3 dengan 74 mata.

Berita Harian X