Isnin, 6 Mei 2019 | 8:37pm
Franco Morbidelli Morbidelli menamatkan perlumbaan GP Sepanyol di tempat ketujuh dan muncul selaku Pelumba Pasukan Bebas Terbaik (pasukan satelit) di Sirkit Jerez semalam. - Foto AFP
Franco Morbidelli Morbidelli menamatkan perlumbaan GP Sepanyol di tempat ketujuh dan muncul selaku Pelumba Pasukan Bebas Terbaik (pasukan satelit) di Sirkit Jerez semalam. - Foto AFP

PETRONAS Yamaha SRT kian bersemangat

KUALA LUMPUR: PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT) mahukan prestasi lebih baik daripada pelumbanya Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo selepas kedua-duanya membuktikan mereka mampu memberi cabaran meskipun persaingan MotoGP baharu memasuki pusingan keempat.

Morbidelli menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol di tempat ketujuh dan muncul selaku Pelumba Pasukan Bebas Terbaik (pasukan satelit) di Sirkit Jerez semalam dan kini berada di tangga keempat dalam carta berkenaan dengan 25 mata keseluruhan.

Mengulas mengenai pencapaian pelumba dari Itali itu, Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali berkata: "Sasaran kami sentiasa untuk menjadi Pasukan Bebas terbaik, jadi ia adalah matlamat yang sudah kami laksanakan.

"Saya tahu yang Franco mensasarkan sesuatu yang lebih tinggi dan dia nyata mampu mencapai keputusan yang lebih baik. Selepas menyaksikan apa yang sudah dilakukan pelumba kami minggu ini, sudah pasti kami mahukan yang lebih lagi.

"Namun kami perlu meningkat langkah demi langkah dan kedua-dua pelumba dan juga pasukan belajar bersama. Kami sudah melakukan tugas yang baik di GP ini dan mempunyai potensi yang hebat.

“Kami amat menantikan aksi di Le Mans yang juga perlumbaan laman sendiri buat Fabio," kata Razlan yang turut gembira dengan prestasi dipamerkan pelumba muda berbakat dari Perancis, Quartararo.

Pelumba muka baharu (rookie), Quartararo dalam pada itu mengejutkan peminat sukan permotoran apabila muncul selaku pelumba termuda yang menyambar petak utama perlumbaan dalam kelas perdana itu pada usia 20 tahun dan 14 hari, Sabtu lalu.

Malah, catatan 1 minit 36.880 saat dilakukannya turutmemecah rekod catatan masa sepusingan di Jerez tatkala sesi kelayakan juga melakar sejarah buat pasukan PETRONAS Yamaha SRT apabila kedua-dua pelumbanya bermula daripada barisan depan dengan Morbidelli menyambar petak kedua untuk perlumbaan.

Bagaimanapun, Quartararo tidak menemui nasib sama ketika sesi kelayakan apabila mengalami isu teknikal yang menyebabkan dirinya tidak menamatkan perlumbaan di litar berkenaan.

"Setiap kisah yang menarik ada penghujungnya tetapi ia masih satu penamat yang gembira," kata Razlan. "Pelumba kami sudah menunjukkan yang mereka mempunyai rentak untuk menjadi kompetitif. 

"Ini adalah kali pertama, kedua-dua pelumba kami berlumba di barisan depan dan kita perlu ingat yang ini baru perlumbaan keempat buat pasukan. Malangnya, dalam perlumbaan apapun boleh berlaku dan ini yang terjadi kepada Fabio yang mengalami isu mekanikal.”

Perlumbaan kelima musim ini dijadual berlangsung di GP Perancis di Sirkit Le Mans pada 19 Mei ini.

Berita Harian X