Rabu, 24 April 2019 | 10:11pm
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Adam harap tuah Ricardo Tormo

 

KUALA LUMPUR: Sirkit Ricardo Tormo yang sering menjadi penutup tirai bagi Kejuaraan Motosikal Dunia bakal sekali lagi dikunjungi Adam Norrodin namun kali ini dalam saingan berbeza - Kejuaraan Moto2 Eropah. 

Adam sudah menyertai perlumbaan kompetitif dalam kelas Moto3 dunia di litar berhampiran bandar Valencia itu sejak 2016 dan mengharapkan pengalamannya di trek sepanjang 4 kilometer (km) itu bakal memberi kelebihan buatnya mengharungi perlumbaan minggu ini. 

"Harapan saya lebih tinggi daripada Portugal (pusingan pertama 2019) kerana di Portugal, saya sedikit bergelut dan tidak begitu mengenali trek berkenaan. Untuk (perlumbaan) di Valencia ini, saya sudah pernah ke sini dan nampaknya cuaca juga diramalkan baik minggu ini," kata pelumba pasukan SIC Junior Team itu. 

Adam menamatkan dua perlumbaan di Estoril, Portugal dengan masing-masing berada di tempat kelapan dan ke-15. 

Pelumba berusia 20 tahun itu kini berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan sembilan mata.

"Walaubagaimanapun dengan pengalaman perlumbaan di Portugal dua minggu lalu, saya mempunyai lebih keyakinan untuk saingan minggu ini. Saya faham sedikit sebanyak mengenai perlumbaan sebelum ini dan semestinya dengan trek yang saya tahu minggu ini, ia akan membantu saya. 

"InsyaAllah, saya akan buat lebih baik untuk capai lebih banyak (penamat) dalam kelompok 10 terbaik minggu ini," katanya.

Sementara itu, rakan senegaranya dari pasukan Dynavolt Intact SIC Junior, Kasma Daniel Kasmayudin berkata: "Untuk minggu perlumbaan ini, saya akan cuba belajar lagi dan tidak mengulangi kesilapan sebelum ini. 

"Saya mengharapkan cuaca lebih baik dan untuk perlumbaan di sini, saya akan cuba dapatkan mata."

Selain beraksi di Moto2 Eropah, pasukan di bawah kendalian Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) itu turut menyertai saingan Moto3 Remaja Dunia dengan Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idil Fitri Mahadi menjadi taruhan. 

Syarifuddin Azman dan Muhammad Harith Haziq pula menyertai perlumbaan European Talent Cup (ETC) bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

Berita Harian X