Selasa, 9 April 2019 | 7:12pm
PELUMBA Red Bull KTM Tech3. - Foto Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
PELUMBA Red Bull KTM Tech3. - Foto Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Hafizh bawa aura positif ke Texas

KUALA LUMPUR: Ada nada positif yang diberikan Hafizh Syahrin Abdullah menjelang Grand Prix (GP) Amerika Syarikat minggu ini walaupun sedar Circuit Of The Americas (COTA) bakal menyajikan saingan lebih mencabar. 

Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh bakal ke litar berdekatan Austin, Texas itu dengan berbekalkan momentum penamat ke-16 di GP Argentina pada penghujung Mac baru-baru ini - satu keputusan lebih baik berbanding ke-20 di pusingan pembuka tirai di GP Qatar, 10 Mac lalu. 

Daripada Sirkit Antarabangsa Losail, Hafizh yang menggunakan jentera baharu KTM RC16 bagi musim 2019 berbanding Yamaha tahun lalu, sudah menunjukkan peningkatan terutama daripada sudut catatan masa sepusingan dan katanya: "Selepas peningkatan yang baik pada perlumbaan di Argentina, saya sangat semakin selesa dengan motosikal dan amat menantikan saingan di COTA.

"(Trek) ini agak teknikal dan kami tahu ia tidak akan menjadi mudah buat kami tetapi kami akan memberikan cabaran, cuba bersaing dan cuba mempertingkatkan kefahaman dengan jentera."

Pada perlumbaan di sirkit Termas de Rio Hondo, pelumba yang bakal berusia 25 tahun pada Mei ini 'mengekori' bekas rakan sepasukannya tahun lalu yang kini bersama pasukan pengeluar Red Bull KTM Factory Racing, Johann Zarco untuk menemui garisan penamat ke-16. 

"Perlumbaan sebelum ini sangat baik, saya mampu mengikuti Johann (Zarco) dan hampir berada dalam kelompok (pungutan) mata. Kami amat menantikan perlumbaan seterusnya. 

"Saya harap semuanya berlangsung dengan baik!. Amat teruja untuk menunggang KTM semula, dengan perasaan saya semakin meningkat, saya mahu menunjukkan (prestasi) daripada awal sesi pertama. Kita lihat apakah yang mampu dilakukan nanti," katanya. 

Sementara itu prinsipal pasukan, Herve Poncharal berkata, mereka akan membawa aura positif di Argentina bagi menghadapi pusingan ketiga bagi musim 2019 itu. 

"Saya fikir kami tiba di Texas dengan penuh optimis, semangat yang membara dan dengan keinginan serta kesungguhan bagi meneruskan peningkatan dalam usaha membantu projek KTM MotoGP terus membangun," kata Poncharal.

"Saya percaya pada masa ini, banyak atmosfera positif di dalam kumpulan KTM MotoGP. Amat menarik dan penting untuk menyaksikan Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) dan Miguel Oliveira (rakan sepasukan Hafizh) masing-masing memberikan saingan. Ini adalah tunjang kepada prestasi yang pada penghujungnya, prestasi adalah apa yang kamu perlukan untuk membangunkan motosikal. 

"Jadi saya percaya dan berharap Miguel dan Hafizh akan menunjukkan profil terbaik mereka seperti di Argentina di Texas nanti. Kami akan meneruskan misi pasukan iaitu mengurangkan jurang (masa) dengan kelompok atas di setiap grand prix.”

Berita Harian X