Isnin, 8 April 2019 | 12:30am
PRINSIPAL pasukan ONEXOX TKKR SAG, Bobie Farid Shamsudin (kiri) meraikan kejayaan pelumbanya Ramdan Rosli yang meraih tempat ketiga Perlumbaan 1 Kejuaraan Moto2 Eropah di Litar Estoril, Portugal. - Foto ONEXOX TKKR SAG
PRINSIPAL pasukan ONEXOX TKKR SAG, Bobie Farid Shamsudin (kiri) meraikan kejayaan pelumbanya Ramdan Rosli yang meraih tempat ketiga Perlumbaan 1 Kejuaraan Moto2 Eropah di Litar Estoril, Portugal. - Foto ONEXOX TKKR SAG

Ramdan akhiri saingan Moto2 Eropah di tangga ketujuh

KUALA LUMPUR: Ramdan Rosli tidak dapat meneruskan momentum positif di Perlumbaan 2 Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) di Litar Estoril, Portugal apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Dia yang juga pelumba ONEXOX TKKR SAG menyertai Perlumbaan 2 dengan berbekalkan semangat penamat di pentas podium pada Perlumbaan 1, namun penamat ketujuh itu masih membenarkannya untuk mengutip sembilan mata berharga.

Dengan berakhirnya pusingan pembuka tirai bagi musim 2019 itu, Ramdan kini sudah mengumpul 25 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan.

Pelumba Finland, Niki Tuuli yang menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kedua selepas mengungguli Perlumbaan 1 mendahului carta keseluruhan dengan 45 mata manakala Alessandro Zaccone (Itali) - pemenang Perlumbaan 2 - kedua, 36 mata.

Tempat ketiga, dihuni Edgar Pon Ramon dari Sepanyol yang meraih penamat kedua dan ketiga untuk perlumbaan hari ini berada di tangga ketiga, berkongsi mata bersama Zaccone.

Sementara itu pelumba SIC Junior, Adam Norrodin menutup saingan di Estoril dengan menemui garisan penamat ke-15 untuk berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan sembilan mata.

Rakan sepasukannya dalam Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kesembilan untuk berada di tangga ke-13 keseluruhan dengan tujuh mata.

Pusingan kedua CEV selepas ini dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada 28 April ini.

Berita Harian X