Isnin, 1 April 2019 | 12:34am
GAMBAR fail, pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki ketika sesi ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir
GAMBAR fail, pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki ketika sesi ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Sasaki kelima GP Argentina, McPhee kecewa

BUENOS AIRES: Penunggang Moto3 PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Ayumu Sasaki bangkit daripada kekecewaan di Qatar apabila menamatkan saingan Grand Prix (GP) Argentina di kedudukan kelima, sebentar tadi.

Selepas tanpa sebarang mata berakhir perlumbaan pembuka tirai 2019 di Litar Antarabangsa Losail, tiga minggu lalu, keputusan di Litar Termas de Rio Hondo menyaksikan pelumba kelahiran Jepun itu mengumpul 11 mata kejuaraan.

Begitupun malang buat rakan sepasukannya, John McPhee apabila terpaksa menamatkan saingan di kedudukan ke-21 sekali gus gagal mengutip sebarang mata.

Di Qatar, pelumba kelahiran Britain itu menamatkan saingan di tangga ke-13 sekali gus mengutip tiga mata kejuaraan manakala Sasaki tidak mengumpul sebarang mata selepas terjatuh.

Lebih mengecewakan buat McPhee, selepas mengharungi kempen yang baik pada hari pertama sesi latihan bebas di Argentina, dia gagal menterjemahkannya pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan di petak ke-11 berbanding Sasaki di petak kesembilan.

Perlumbaan di Argentina dimenangi pelumba Sepanyol, Jaume Masia dari pasukan Bester Capital Dubai selepas melakukan catatan 38 minit 54.562 saat. 

Pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder  (CIP Green Power) menamatkan saingan di kedudukan kedua manakala pelumba Itali, Tony Arbolino (VNE Snipers) melengkapkan kedudukan podium. - Agensi

Berita Harian X