Sabtu, 16 March 2019 | 6:41pm
Hamilton melaungkan amaran awal untuk dia terus mendominasi saingan perlumbaan F1 musim ini. - Foto AFP
Hamilton melaungkan amaran awal untuk dia terus mendominasi saingan perlumbaan F1 musim ini. - Foto AFP

Hamilton sambar petak pertama GP Australia

MELBOURNE: Juara dunia, Lewis Hamilton melaungkan amaran awal untuk dia terus mendominasi saingan perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini apabila menyambar petak pertama pusingan pertama di Grand Prix (GP) Australia, hari ini.

Pemandu Britain itu mencatat masa terpantas satu minit 20.486 saat bagi mengatasi rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas yang akan bermula di petak kedua manakala pemandu Ferrari, Sebastian Vettel ketiga.

Pemandu Jerman itu akan bermula di barisan kedua bersama pemandu Red Bull, Max Verstappen manakala pemandu baharu Ferrari, Charles Leclerc dan pemandu Haas, Romain Grosjean di barisan ketiga.

Bekas pemandu Haas, Kevin Magnussen akan memulakan perlumbaan di petak ketujuh diikuti pemandu muda Britain, Lando Norris yang berjaya mencatat masa kelapan terpantas pada penampilan pertamanya.

Hamilton, 34, adalah pakar petak hadapan di Melbourne apabila lapan kali berjaya bermula di depan sejak 2014 biarpun hanya dua kali memenangi perlumbaan di Albert Park iaitu pada 2008 dan 2015.

Dia yang memburu gelaran dunia keenam musim ini bagi merapatkan jurang dengan rekod legenda F1, Michael Schumacher yang menjuarainya sebanyak tujuh kali, berkata Ferrari adalah lebih pantas sebaik tamat sesi ujian pra musim di Barcelona.

Bagaimanapun, dia membuktikan sebaliknya apabila turut mendominasi tiga sesi ujian bebas.

"Selepas ujian di Barcelona, kami ada melakukan beberapa perubahan dan ia kelihatan membuahkan hasil yang positif. Saya tidak jangka dapat melihat prestasi yang berbeza di sini," kata Hamilton.

Bottas turut menyuarakan perkara sama apabila mengakui agak terkejut dengan prestasi jentera Mercedes di Albert Park.

"Seperti Lewis, saya agak terkejut dengan prestasi hari ini. Saya tidak fikir ada sesiapa dalam pasukan ini membayangkan kami mampu mencapai keputusan seperti ini selepas sesi ujian pra musim," katanya. - AFP

KEPUTUSAN

Kelayakan ketiga:

1. Lewis Hamilton (GBR/Mercedes) 1:20.486

2. Valtteri Bottas (FIN/Mercedes) 1:20.598

3. Sebastian Vettel (GER/Ferrari) 1:21.190

4. Max Verstappen (NED/Red Bull) 1:21.320

5. Charles Leclerc (MON/Ferrari) 1:21.442

6. Romain Grosjean (FRA/Haas) 1:21.826

7. Kevin Magnussen (DEN/Haas) 1:22.099

8. Lando Norris (GBR/McLaren) 1:22.304

9. Kimi Raikkonen (FIN/Alfa Romeo) 1:22.314

10. Sergio Perez (MEX/Racing Point) 1:22.781

Tersingkir di kelayakan kedua:

11. Nico Hulkenberg (GER/Renault)

12. Daniel Ricciardo (AUS/Renault)

13. Alexander Albon (THA/Toro Rosso)

14. Antonio Giovinazzi (ITA/Alfa Romeo)

15. Daniil Kvyat (RUS/Toro Rosso)

Tersingkir di kelayakan pertama:

16. Lance Stroll (CAN/Racing Point)

17. Pierre Gasly (FRA/Red Bull)

18. Carlos Sainz Jr (ESP/McLaren)

19. George Russell (GBR/Williams)

20. Robert Kubica (POL/Williams)

Berita Harian X