Jumaat, 15 March 2019 | 12:27pm
JENTERA McLaren ketika sesi latihan di Melbourne. - Foto EPA
JENTERA McLaren ketika sesi latihan di Melbourne. - Foto EPA

McLaren gugur iklan rokok menjelang GP Australia

MELBOURNE: Pasukan Formula Satu (F1), McLaren menggugurkan logo British American Tobacco untuk perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix (GP) di Melbourne selepas peningkatan bantahan berhubung kehadiran semula iklan firma rokok dalam sukan berkenaan.

Keputusan McLaren itu tiba selepas Ferrari menanggalkan kesemua rujukan mengenai Mission Winnow - sebuah subsidiari kepada firma tembakau Philip Morris - daripada jentera mereka dan seragam pasukan untuk perlumbaan yang berpotensi melanggar perundangan pengiklanan anti tembakau Australia.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Dunia menyeru penguatkuasaan yang lebih baik terhadap larangan iklan rokok selepas syarikat tembakau kembali menyertai tajaan dengan pasukan F1.

Seorang jurucakap McLaren memberitahu AFP 'ia adalah keputusan BAT untuk tidak menggunakan jenama mereka pada perlumbaan minggu ini'.

Baru-baru ini pasukan British itu mengumumkan kerjasama dengan gergasi tembakau itu, yang mengandungi tulisan 'A Better Tomorrow' di kereta dan juga seragam pemandu.

BAT berkata, ia hanyalah tertumpu kepada 'potensi mengurangkan risiko produk' mereka, merujuk kepada rokok elektronik dan bukannya kepada kelangsungan hubungan untuk promosi rokok.

"BAT menyedari pendirian kerajaan Australia ketika ini yang ke arah mengurangkan risiko produk," kata jurucakap McLaren.

Ferrari menggantikan penjenamaan Mission Winnow dengan logo sambutan ulangtahun ke-90. Namun seorang jurucakap Scuderia Ferrari berkata, pasukan menjangkakan untuk kembali menggunakan jenama berkenaan untuk GP seterusnya di Bahrain nanti.

Mission Winnow mula diperkenalkan pasukan di GP Jepun tahun lalu, sekali gus mencetus kepada siasatan oleh pengatur komunikasi Australia berkenaan sama ada siaran perlumbaan di televisyen itu melanggar peraturan pengiklanan tembakau.

Kerajaan negeri Victoria, yang bertempat di Melbourne, juga mengambil berat mengenai kontroversi logo berkenaan.

Semalam, WHO menyeru 'seluruh badan sukan, termasuk F1 dan MotoGP, untuk mengamalkan polisi bebas-tembakau'.

"WHO menggesa kerajaan untuk menguatkuasa larangan iklan tembakau, promosi dan juga tajaan dalam acara sukan termasuk ketika menganjurkan atau menerima siaran F1 dan MotoGP," kata agensi kesihatan dunia itu dalam satu kenyataan.

Firma tembakau begitu aktif di F1 sebelum badan induk sukan berkenaan FIA mengharamkan pengiklanan tembakau dan tajaan daripada syarikat pembuat rokok pada akhir musim 2006. - AFP

Berita Harian X