Khamis, 14 March 2019 | 8:48pm
PELUMBA MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi latihan di kendalikan oleh Majlis Sukan Negara di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
PELUMBA MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah ketika sesi latihan di kendalikan oleh Majlis Sukan Negara di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Hafizh rujuk Zarco baiki prestasi

 

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui dia menjadikan Johann Zarco sebagai sumber rujukan dalam usaha memperbaiki prestasi selepas bergelut dalam aksi pembukaan Grand Prix Qatar, Ahad lalu.

Menurut Hafizh yang dalam tahun kedua di perlumbaan MotoGP, faktor kali pertama menggunakan enjin KTM nyata menjejaskan persembahannya di Litar Losail apatah lagi dia masih dalam proses mengenali jentera Red Bull KTM Tech3 itu.

Malah, katanya Zarco yang beraksi bersama Red Bull KTM Factory Racing juga bergelut sepertinya, namun dia percaya pelumba Perancis itu mampu membantunya memperbaiki tunggangan.

"Perkara ini mungkin kerana karektor saya tidak agresif seperti (Aleix) Espargaro yang turut menggunakan jentera KTM.

"Gaya tunggangan saya adalah sama seperti Zarco. Dia mempunyai lebih banyak pengalaman dan ia memberi kelebihan kepadanya. 

"Seperti Zarco, saya juga masih cuba untuk memahami karakter jentera KTM dan saya akui ia agak sukar, dan situasi sama juga dihadapi Zarco apabila bergelut di kedudukan ke-15 Ahad lalu," kata Hafizh merujuk kepada bekas rakan sepasukannya musim lalu.

Hafizh menamatkan perlumbaan di Litar Losail di tempat ke-20 dengan catatan 43 minit 20.144 saat manakala gandingannya dalam pasukan yang juga muka baharu (rookie) kelas MotoGP, Miguel Oliveira mencatat masa lebih baik 42'53.279s untuk berada di tempat ke-17.

Permulaan hambarnya itu turut mengundang rasa kurang senang prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal yang meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi Hafizh.

Bagaimanapun, Hafizh yang pada tahun lalu muncul pelumba muka baharu kedua terbaik selepas Franco Mobidelli tidak panik dengan isu awal musim dihadapinya itu.

"Saya masih cuba memahami jentera KTM dan agak sukar bagi saya. Kalau kita lihat Zarco yang dianggap pelumba lima terbaik pun turut bergelut dengan jentera KTM kali ini.

"Banyak benda baharu saya perlu diubah terutama daripada aspek tunggangan dan keserasian bersama jentera. Ia mengambil sedikit masa. Apapun saya tidak bimbang dengan situasi berkenaan.

"Ini kerana saya masih kekal dengan momentum latihan sama, motivasi turut masih tinggi. Cuma hanya masa akan menentukan bila saya akan kembali pada prestasi terbaik. Sebab itu saya tidak tertekan," katanya.

Berita Harian X