Isnin, 11 March 2019 | 6:51pm
PELUMBA pasukan Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin. - Foto EPA
PELUMBA pasukan Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin. - Foto EPA

Poncharal kecewa prestasi Hafizh

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech3, Herve Poncharal meluahkan rasa kecewanya terhadap prestasi Hafizh Syahrin Abdullah di Grand Prix (GP) Qatar tatkala pelumbanya itu berazam untuk mempertingkatkan kemampuannya pada perlumbaan akan datang. 

Hafizh menamatkan perlumbaan di Sirkit Antarabangsa Losail di tempat ke-20 dengan catatan 43 minit 20.144 saat manakala gandingannya dalam pasukan yang juga muka baharu (rookie) dalam kelas MotoGP, Miguel Oliveira mencatat masa lebih baik 42'53.279s untuk berada di tempat ke-17. 

"Di bahagian garaj yang lain, saya tidak boleh menyembunyikan rasa kecewa saya kerana Hafizh tidak pernah berada dalam rentak yang baik,” kata Poncharal.

"Kami menamatkan (perlumbaan) di tempat terakhir, pelumba lain yang berada di belakang (Hafizh) sama ada terjatuh atau tidak menamatkan perlumbaan, jadi ini masih belum cukup. 

"Kami di sini untuk membantu dan bukan menyalahkan sesiapa tetapi saya fikir Hafizh perlu mengubah sesuatu kerana kami tidak boleh mempunyai satu jurang antara kedua-dua pelumba kami sendiri. 

"Harap-harap dia akan menemui sesuatu yang menarik untuk di Argentina nanti. Terima kasih Red Bull, terima kasih KTM tetapi apa yang paling penting terima kasih kepada pasukan Red Bull KTM Tech3 yang sudah berusaha begitu gigih sekali."

Sementara itu, Hafizh mengakui dirinya masih dalam proses mengenali jentera selain tidak mempunyai keyakinan untuk menunggang lebih laju. 

"Saya cuba belajar daripada perlumbaan ini dan mencari ruang peningkatan. Saya mohon maaf kepada pasukan dan kesemua rakan saya yang hadir ke sini untuk menyokong saya. Saya kecewa dengan diri sendiri tetapi kami terus berusaha gigih, kami harus sabar dan saya harap ada sesuatu yang baik akan hadir tidak lama lagi," kata Hafizh.

Berita Harian X