Isnin, 4 March 2019 | 11:24pm
JOHN McPhee (kiri) dan Johan Stigefelt. - Foto Agensi
JOHN McPhee (kiri) dan Johan Stigefelt. - Foto Agensi

PETRONAS Sprinta Racing optimis hadapi GP Qatar

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Sprinta Racing sudah memperoleh tonik yang diharapkan bagi mengharungi pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Qatar, hujung minggu ini.

Ia berikutan keputusan positif yang dicatatkan sepanjang tiga hari ujian pra musim terakhir bagi kelas Moto2 dan Moto3 di Sirkit Antarabangsa Losail yang berakhir semalam. 

Dalam kelas Moto3, pelumba muka baharu dalam pasukan, John McPhee dari Scotland mencatat masa sepusingan terpantas 2 minit 05.899 saat (s) untuk berada di tangga keenam keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki yang mengalami kemalangan semalam menduduki tangga ke-15 dengan catatan terbaiknya 2:06.341s. 

"Ujian tiga hari yang baik untuk kami di Qatar,” kata Pengarah Pasukan, Johan Stigefelt. 

“John mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan Honda tetapi kami sudah berusaha gigih terhadap pelarasan motosikal sejak kami memulakan pra musim di Valencia tahun lalu - kami menukar dan mencuba banyak perkara dan pada akhirnya, kami menemui satu pakej yang disukainya dan selesa dengannya. 

"Malah, hari ini (semalam) adalah hari terbaik yang kami rasai di sepanjang pra musim kerana dia melakukan banyak pusingan bersendirian, melakukan catatan masa yang pantas dan konsisten. 

"Saya berbangga untuk menamatkan ujian pra musim seperti ini dan saya fikir daripada sudut John sendiri, kami sudah bersedia (mengharungi musim baharu).

"Ayumu (Sasaki) juga mengharungi pra musim yang baik, meskipun tidak banyak yang dilakukannya pada ujian di Qatar ini disebabkan kesukaran dialaminya - termasuk satu kemalangan yang sedikit mengganggunya semalam. 

"Langkah demi langkah dia menunjukkan peningkatan dan pada akhir sesi (ujian), kami lihat dia mampu untuk melakukan catatan yang pantas. 

“Ayumu akan bersedia untuk perlumbaan - dia menemui satu pelarasan yang baik di Jerez dan dia gembira dengan perkara itu. Hanya ada beberapa area di trek ini yang memerlukan dia lebih pantas.”

Sementara itu Khairul Idham Pawi yang menggalas cabaran pasukan dalam kelas Moto2 juga menunjukkan peningkatan positif pada ujian berkenaan. 

Khairul Idham mencatat masa sepusingan terbaiknya, 2:00.148s untuk berada di tangga ke-22 keseluruhan dan pelumba berusia 20 tahun itu mengakui berpuas hati dengan persembahannya semalam.

"Kami melakukan 20 pusingan perlumbaan simulasi dan saya berasa selesa dan kelajuannya juga bagus. Kami menunjukkan peningkatan di setiap sesi dan catatan masa sepusingan juga bertambah baik. 

"Ini adalah sesuatu yang penting menjelang Grand Prix pertama musim ini. Kami mempunyai ruang untuk meningkat tetapi apa yang penting adalah kami terus mempamerkan peningkatan. Saya tidak sabar untuk perlumbaan minggu depan dan memulakan musim baharu."

Berita Harian X