Khamis, 21 Februari 2019 | 10:43am
GAMBAR fail, pelumba Australia, Remy Gardner. - Foto amcn.com.au
GAMBAR fail, pelumba Australia, Remy Gardner. - Foto amcn.com.au

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team 10 terpantas

 

KUALA LUMPUR: Pelumba Australia, Remy Gardner meletakkan dirinya dalam kelompok 10 terpantas pada hari pertama ujian rasmi pra musim Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia di Litar Jerez, Sepanyol, semalam sekali gus memberi reaksi positif buat pasukan disertainya, ONEXOX TKKR SAG Team.

Gardner mencatat masa terbaik 1 minit 41.802 saat pada penghujung sesi kedua yang menyaksikan dia melengkapkan 24 pusingan tatkala pelumba SKY Racing Team VR46, Luca Marini muncul terpantas untuk hari pertama, 1:41.146s. 

Rakan sepasukan Gardner dari Jepun, Tetsuta Nagashima berada di tangga ke-15 terpantas keseluruhan dengan catatan terbaiknya, 1:42.021s.

Pasukan tempatan, TKKR Racing minggu lalu mengumumkan kerjasama dengan SAG Racing Team yang berpangkalan di Barcelona dan menerusi kolaborasi ini, kedua-dua bergerak di bawah satu nama, ONEXOX TKKR SAG Team untuk saingan Moto2 dunia. 

Malah mereka juga dijadual menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) dan tugas berkenaan digalas dua pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli. 

Minggu lalu pasukan ini menjalani latihan di Almeria, Sepanyol dan bagi Ramdan, peluang itu digunakan sebaiknya untuk kembali menyesuaikan diri dengan jentera Moto2. 

"Saya sudah lama tak menunggang motosikal Moto2. Jadi saya perlu mencari semula rentak dan corak tunggangan Moto2 ini," kata Ramdan yang kali terakhir menyertai kejuaraan CEV pada 2016. 

Untuk makluman, ONEXOX TKKR SAG Team akan menggunakan nama yang sama bukan saja untuk kedua-dua perlumbaan itu tetapi juga di semua kejuaraan disertai mereka seperti Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang berada di bawah pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi menamatkan hari pertama ujian rasmi di tempat ke-30 daripada 32 pelumba dengan catatan terbaiknya, 1:43.434s.

Ujian rasmi bagi kelas Moto2 dan Moto3 ini bersambung hari ini sebelum melabuhkan tirainya esok. 

Ujian seterusnya dijadual berlangsung di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar pada 1 hingga 3 Mac sebelum musim 2019 membuka tirainya di litar sama dari 8 hingga 10 Mac.

Berita Harian X