Isnin, 4 Februari 2019 | 2:38pm
HAFIZH Syahrin ketika sidang media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
HAFIZH Syahrin ketika sidang media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Hafizh tak gusar cabaran Morbidelli

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah enggan ambil pusing mengenai saingan musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia 2019 dari pelumba pasukan negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli.

Sebaliknya, dia hanya mahu memberi tumpuan memantapkan jentera baharu yang bakal digunakan pasukannya, Tech3 KTM.

Hafizh yang menggunakan jentera RC16 bersama pasukan Red Bull KTM Tech3 musim ini pernah bekerjasama bersama Yamaha pada musim lalu dan baginya terdapat jurang berbeza sekiranya hendak dibandingkan antara dua pengeluar itu.

"Sudah pasti amat bagus kerana penaja dari Malaysia dan pasukan negara itu dikendalikan Datuk Razlan Razali dan (dibantu) oleh pihak yang dipilihnya.

"Jadi saya cuba memberi saingan dan ada warna baharu di trek perlumbaan nanti termasuk pasukan saya sendiri," katanya  mengulas mengenai pelancaran warna baharu jentera PETRONAS Yamaha Sepang Racing di KLCC termasuk pesaingnya dalam perebutan gelaran pelumba muka baharu terbaik (rookie) musim lalu, Morbidelli baru-baru ini.

"Apa yang pasti, Yamaha sudah lama dalam MotoGP, orang kata hanya salin baju... memang mudah dan terus pakai. Macam KTM, kami masih baharu dalam MotoGP, kami perlu pengalaman lagi dan pengeluar KTM masih mencari apa yang perlu ditambah daripada sudut jentera.

"Jadi, saya tak bimbang mengenai Morbidelli di PETRONAS dan hanya fokus untuk membangunkan jentera KTM ini supaya dapat memberi saingan di (kelompok) depan dan saya akan cuba belajar secepat mungkin.

"Ini mungkin peluang saya untuk membangunkan jentera KTM ini dan meningkatkan lagi pengalaman saya di MotoGP. Dengan lebih banyak saya belajar, mungkin lebih pengalaman saya dapat di KTM."

Bagi musim 2019 yang dijadual membuka tirainya di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar pada 10 Mac ini, Hafizh akan bergandingan bersama pelumba dari Portugal, Miguel Oliveira.

Berita Harian X