Jumaat, 18 Januari 2019 | 6:24pm
Pelumba Motor Negara, Mohamad Danial Syahmi Ahmad Shahril,16 menjalani rawatan fisioterapi di Kuala Lumpur Sports Medicine Centre. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Pelumba Motor Negara, Mohamad Danial Syahmi Ahmad Shahril,16 menjalani rawatan fisioterapi di Kuala Lumpur Sports Medicine Centre. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Danial tak sabar beraksi

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril sudah tidak sabar untuk kembali beraksi tatkala proses pemulihan kakinya kini semakin menunjukkan perkembangan positif.

Awal November lalu, Danial yang beraksi dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Malaysia, Asia Talent Cup (ATC) dilanggar pelumba lain hingga menyebabkan tulang betis kanannya hancur.

Bagaimanapun selepas menjalani pembedahan dan rawatan stemcell di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) sejak dua bulan lalu, tulang yang hancur sepanjang 10 sentimeter itu kini sudah tumbuh hingga 7sm.

“Tahun lalu amat mencabar, pada perlumbaan terakhir (musim ATC) di Sepang, saya mengalami kemalangan. Kaki saya digilis pelumba lain dan tulang hilang 10sm. Sekarang, tulang sudah pulih hingga 7sm, hanya tinggal 3sm lagi.

“Mungkin dalam sebulan lagi saya kembali sembuh, saya akan kembali menjalani latihan kecergasan mental dan fizikal sebagai persiapan menghadapi musim baharu,” kata Danial, 16, yang ditemui di KLSMC, hari ini.

Danial mempunyai dua tugasan bagi musim baharu iaitu menyertai Kejuaraan ATC dan European Talent Cup (ETC) - satu perlumbaan sokongan bagi saingan di Eropah.

“Saya meletak sasaran untuk pulihkan kaki dulu dan selepas itu meneruskan perlumbaan motosikal. Saya akan kembali menjalani latihan untuk lebih cergas. Saya mempunyai sasaran untuk berada di kelompok lima terbaik keseluruhan dalam ATC dan cuba mengutip mata kejuaraan di ETC.

“Jujurnya, saya sudah tidak sabar untuk beraksi. Saya sudah lama tidak menunggang dan tentunya saya berasa bosan (ketika ini). Selalunya saya akan menunggang atau melakukan latihan kecergasan. Sekarang ini, hanya melakukan fisioterapi dan latihan tangan saja,” katanya yang mengakui semangatnya tidak pernah luntur disebabkan kemalangan itu.

“Tidak,” katanya ketika diajukan soalan sama ada dia tertekan susulan kemalangan itu.

“Apabila kaki jadi seperti ini, saya lebih semangat untuk berlumba pada masa akan datang. Mungkin ini cabaran dan saya mahu melakukan yang lebih baik untuk perlumbaan akan datang.

“Zulfahmi (Khairuddin), rakan-rakan banyak memberi semangat, Fahmi sendiri selalu menasihati saya. Jadi ia membuatkan semangat saya lebih berkobar-kobar.”

Berita Harian X