Isnin, 7 Januari 2019 | 11:16pm
Maurizio Arrivabene (kanan) akan digantikan dengan Pengarah Teknikal, Mattia Binotto, menurut laporan media Itali, hari ini. - Ihsan Twitter/@F1
Maurizio Arrivabene (kanan) akan digantikan dengan Pengarah Teknikal, Mattia Binotto, menurut laporan media Itali, hari ini. - Ihsan Twitter/@F1

Ferrari tukar bos

MILAN: Pasukan Formula Satu (F1) Ferrari dijangka merombak pengurusannya dengan Prinsipal, Maurizio Arrivabene akan digantikan dengan Pengarah Teknikal, Mattia Binotto, menurut laporan media Itali, hari ini.

Gazzetta Dello Sport melaporkan kontrak Arrivabene tidak akan disambung selepas pasukan itu mengharungi satu lagi musim yang hambar apabila tewas kepada Mercedes.

Presiden Ferrari, John Elkann memutuskan yang Binotto, 49, sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas berkenaan pada 2019, menurut laporan itu.

Arrivabene, 61, yang juga bekas Ketua Pemasaran Philip Morris menggantikan Marco Mattiacci pada 2014 tetapi sepanjang empat tahun bersama pasukan itu, Ferrari gagal untuk mengekang Mercedes untuk mendominasi kejuaraan F1 dunia.

Binotto dari Switzerland sudah berada bersama Ferrari sejak 1995 dan memulakan kariernya sebagai jurutera ujian sebelum naik pangkat kepada Ketua Jurutera dan dilantik Pengarah Teknikal pada 2016.

Pelumba utama Ferrari, Sebastian Vettel gagal untuk merangkul kejuaraan dunia pada 2017 dan 2018 sekali pun dia bersaing sengit dengan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton.

Ferrari akan mengubah barisan pemandunya musim depan dengan memasukkan pelumba Monaco, Charles LeClerc bagi menggantikan pelumba Finland, Kimi Raikkonen yang beralih angin ke Sauber. - AFP

Berita Harian X