Sabtu, 17 November 2018 | 11:26pm
AKSi penunggang Yamaha, Maverick Vinales ketika mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Valencia, hari ini. - Foto EPA
AKSi penunggang Yamaha, Maverick Vinales ketika mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Valencia, hari ini. - Foto EPA

Vinales ungguli petak utama GP Valencia

VALENCIA: Penunggang Yamaha, Maverick Vinales meraih petak pertama MotoGP sejak Aragon tahun lalu apabila mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Valencia, hari ini.

Begitupun, juara dunia, Marc Marquez dari Honda tampak terus bergelut dengan kecederaan bahu yang diperolehnya di Malaysia untuk memulakan perlumbaan di petak kelima selepas terjatuh ketika kelayakan sebelum menerima rawatan.

Selepas terjatuh, pelumba Sepanyol itu memegang bahunya ketika tiba di paddock sebelum dia dibawa ke trak pasukan untuk menerima rawatan sebelum kembali ke litar untuk menamatkan sesi kelayakan.

Catatan 1 minit  31.312 saat  (s) yang dilakukan Vinales cukup untuknya memulakan perlumbaan pusingan terakhir musim 2018 itu di petak utama  diikuti pelumba Suzuki, Alex Rins yang hanya kurang  0.068s di petak kedua.

Pelumba Ducati Andrea Dovizioso melengkapkan barisan depan di Litar Ricardo Tormo  selepas melakukan 1 minit 31.392s.

Sementara itu, rakan sepasukan Vinales, Valentino Rossi akan memulakan perlumbaan di petak ke-16 manakala seorang lagi pelumba Ducati, Jorge Lorenzo di petak ke-13.

Juara di Valencia tahun lalu, Dani Pedrosa yang mengharungi perlumbaan terakhir susulan persaraan akan memulakan perlumbaan di petak kesembilan.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah pula akan memulakan perlumbaan di petak ke-21 manakala seteru utamanya dalam pemburuan anugerah penunggang muka baharu terbaik, Franco Morbidelli di petak ke-15.

Morbidelli dari Itali ketika ini mengungguli carta muka baharu terbaik selepas mengumpul 50 mata kejuaraan manakala Hafizh di kedudukan kedua ketinggalan 10 mata. - Agensi

 

Keputusan sesi kelayakan GP Valencia

1. Maverick Vinales (ESP) Movistar Yamaha, 1m 31.312s

2. Alex Rins (ESP) Suzuki Ecstar, +0.068s

3. Andrea Dovizioso (ITA) Ducati Team, +0.080s

4. Danilo Petrucci (ITA) Pramac Ducati, +0.102s

5. Marc Marquez (ESP) Repsol Honda, +0.130s

6. Pol Espargaro (ESP) Red Bull KTM Factory, +0.265s

7. Andrea Iannone (ITA) Suzuki Ecstar, +0.317s

8. Aleix Espargaro (ESP) Factory Aprilia Gresini, +0.318s

9. Dani Pedrosa (ESP) Repsol Honda, +0.828s

10. Jack Miller (AUS) Pramac Ducati, +0.833s

**13. Jorge Lorenzo (ESP) Ducati Team, 1m 31.900s 

**16. Valentino Rossi (ITA) Movistar Yamaha, 1m 32.452s 3

**Hafizh Syahrin (MAL) Monster Yamaha Tech3, 1m 32.749s 

 

 

 

Berita Harian X