Sabtu, 17 November 2018 | 8:14pm
AKSI Ahmad Afif hampir pasti dinobatkan juara CP150.
AKSI Ahmad Afif hampir pasti dinobatkan juara CP150.

Ahmad Afif laung amaran awal

KUALA LUMPUR: Keadaan litar basah berikutan hujan lebat bukan penghalang kepada Ahmad Afif Amran untuk mempamerkan tunggangan terbaik apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan kategori CP150 pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu mencatat masa terpantas 46.207 saat (s) mengatasi rakan sepasukan, Md Hafiz Nor Azman (46.746s), diikuti pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin ketiga (46.770s).

Biarpun Ahmad Afif yang sudah meraih lapan podium setakat ini hanya perlu menamatkan pelumbaan di tempat kesembilan untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan, pelumba berasal dari Terengganu itu enggan mendabik dada kerana dia mempunyai misi lebih besar iaitu mahu dinobatkan selaku 'Raja' litar untuk kategori individu dan pasukan.

 

Terdahulu, Afif turut merekodkan catatan terpantas litar 44.986s mengatasi catatan milik Kasma pada musim lalu.

"Saya tidak boleh selesa dengan kelebihan ketika ini, jadi saya memilih untuk terus memberikan aksi terbaik memandangkan pasukan kami juga sedang berjuang untuk memenangi gelaran juara berpasukan.

"Ketika ini kami hanya mempunyai kelebihan 50 mata, namun pencabar utama, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menampilkan aksi terbaik mereka sepanjang beberapa pusingan lalu. 

"Kami tidak boleh kehilangan banyak mata, jadi saya serta Hafiz perlu mencari penamat terbaik dan jika kami berdua dapat menamatkan saingan di atas podium, gelaran pasukan terbaik akan menjadi milik kami," katanya.

Dalam saingan CP115, Md Aiman Azman (Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing Team) tampil dengan aksi terbaik apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan 49.564s, diikuti Md Syafiq Rosli (ELF Koyoko Honda KC Racing), 49.596s dan Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 49.601s.

Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) pula muncul pelumba terpantas sesi Shootout dan akan memulakan perlumbaan akhir WIRA KBS dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas 48.756s diikuti Daniel El Fahim (SIC Junior Team AFB TECH Racing) kedua, 49.608s dan Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) ketiga, 49.675s.

INFO PUSINGAN KELAYAKAN

CP150

1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 46.207s

2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 46.746s

3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 46.770s

4. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing 46.993s

5. Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 47.302s

CP115

1. Md Aiman Azman (SGR) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing Team 49.564s

2. Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 49.596s

3. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 49.601s

4. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 49.714s

5. Md Aliff Aiman Tumiran (JHR) Arata Fatt Fatt ASP JDT GL Team 49.745s

WIRA KBS - SHOOTOUT

1. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 48.756s

2. Daniel El Fahim (PNG) SIC Junior Team AFB TECH Racing 49.608s

3. Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 49.675s

4. Md Afizi Supaat (SGR) ELF Koyoko Honda KC Racing 50.000s

5. Md Idil Fitri Mahadi (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 50.256s

 

Berita Harian X