Khamis, 15 November 2018 | 5:12pm
Pendahulu keseluruhan, Md Syarifuddin Azman.
Pendahulu keseluruhan, Md Syarifuddin Azman.

Peluang Syarifuddin bergelar juara

KUALA LUMPUR: Pendahulu keseluruhan, Md Syarifuddin Azman berpeluang bergelar juara keseluruhan WIRA KBS seandainya memenangi perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba Idemitsu Kozi YAM Honda Racing itu kini mendahului kedudukan dengan 133 mata, terikat jumlah pungutan mata bersama Danial Syahmi namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.

Selepas lapan pusingan, Syarifuddin kini memiliki lima kemenangan berbanding Danial yang meraih dua kemenangan.

Namun, dengan Danial terlepas aksi di Jempol minggu ini akibat kecederaan, peluang lebih terbuka buat Syarifuddin untuk meraih kemenangan keenam berturut-tutut pada musim ini.

Satu-satunya pelumba yang masih mampu memberikan cabaran ialah Md Alif Ashraf Tahiruddin yang kini berada di kedudukan ketiga dengan 112 mata seandainya pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha itu mampu menjuarai perlumbaan minggu ini.

"Di atas kertas, mungkin nampak ada kelebihan kepada saya namun situasi berbeza jika di litar. Banyak faktor lain perlu diambil kira terutama sewaktu perlumbaan," kata Syarifuddin.

"Ketiadaan Danial juga bukannya alasan untuk saya mengambil mudah saingan minggu ini. Secara peribadi, saya turut bersimpati dengan kecederaan Danial.

"Persaingan antara kami berdua cukup menarik dan sengit sepanjang musim ini. Saya doakan dia cepat pulih dan kembali ke litar semula.

"Namun, saya yakin rakan sepasukannya juga mampu memberikan saingan kepada saya, begitu juga dengan Alif yang sentiasa konsisten berada di kelompok depan pada musim ini.

"Apa yang penting, saya perlu cukup bersedia, begitu juga pasukan yang pastinya akan menyediakan jentera terbaik kepada saya. Berbanding memikirkan gelaran keseluruhan, saya lebih suka fokus kepada perlumbaan."

Syarifuddin bersama kru pasukan.
Syarifuddin bersama kru pasukan.

Berita Harian X