Rabu, 14 November 2018 | 7:02pm
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini - Foto OWEE AH CHUN
SHAHROL Yuzy Ahmad Zaini - Foto OWEE AH CHUN

Azroy, Amirul taruhan Yuzy di Jempol

KUALA LUMPUR: Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing hanya mempertaruhkan dua pelumba bagi saingan CP150 pada pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan hujung minggu ini.

Dua pelumba berkenaan ialah Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff Musa sementara Harith Farhan Baharin tidak dapat disenaraikan selepas menjalani pembedahan lutut baru-baru ini.

Md Aiman Azman dan Shahrol Syazraz Shahrol Yuzy pula kekal membawa cabaran dalam kelas CP115.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, ketiadaan Harith bagaimanapun tidak menjejaskan strategi pasukan dan mengakui pelumbanya itu juga kemungkinan turut tidak dapat beraksi pada pusingan penutup tirai musim 2018 di Johor, bulan depan.

"Kecederaan Harith sudah agak lama, jadi keputusan melakukan pembedahan ketika ini adalah tepat sebagai persediaan untuk menghadapi musim 2019  dan kita juga harapkan dia dapat pulih segera," kata Yuzy.

"Cuma strategi awal kami pada minggu ini adalah meletakkan pelumba berpengalaman, Zaqhwan Zaidi sebagai pengganti di Jempol memandangkan saingan Kejuaraan Seluruh Jepun yang disertainya pada musim ini sudah pun tamat.

“Malangnya, Zaqhwan terjatuh dan tangannya mengalami kecederaan pada perlumbaan terakhir kategori 1000cc di Jepun baru-baru ini.

"Jadi dia tidak dapat beraksi minggu ini. Kemungkinan dia akan berlumba di Johor andai Harith masih belum sembuh sepenuhnya."

Berita Harian X