Sabtu, 3 November 2018 | 7:35pm
HAFIZH Syahrin ketika sesi latihan bebas MotoGP bersempena dengan MotoGP 2018 di Litar Sepang. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
HAFIZH Syahrin ketika sesi latihan bebas MotoGP bersempena dengan MotoGP 2018 di Litar Sepang. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Hafizh bermula dari barisan belakang 

 

SEPANG: Semuanya tidak berlangsung seperti direncanakan Hafizh Syahrin Abdullah apabila hujan mengganggu sesi kelayakan dengan dirinya bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Shell Malaysia dari petak ke-23, esok.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mampu berada di tempat ke-13 pada awal saingan sesi latihan bebas ketiga dengan catatan positif 2 minit 00.558 saat sebelum ke-15 pada sesi seterusnya (2:01.391s) yang berlangsung dalam keadaan cuaca berbeza.

Sesi kelayakan pertama disertai Hafizh turut menyaksikan bendera merah dikibarkan sebaik saja saingan bermula susulan hujan lebat dan ia kembali diteruskan selepas satu jam 20 minit.

Hafizh mencatat 2:16.825s di atas permukaan basah sepenuhnya dan menyaksikan dia menamatkan sesi berkenaan di tangga ke-13 yang secara tidak langsung menempatkan dirinya bakal bermula dari petak ke-23, barisan kelapan.

Pada sesi kelayakan kedua, juara dunia Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda menyambar petak utama dengan catatan terpantas, 2:12.161s.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco dari Perancis berada di petak kedua dengan catatan 2:12.709s manakala pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi ketiga, 2:13.009s.

Selain itu, hujan yang membasahi trek di Sepang turut menjadi perhatian penganjur dan mereka memutuskan untuk meminda kesemua sesi perlumbaan dengan saingan Moto3 dijadual bermula pada jam 10 pagi. Moto2 bakal berlangsung pada jam 11.20 pagi dan MotoGP, 1 tengahari.

Hafizh mengakui keputusan diraihnya itu bukanlah seperti diharapkan tetapi tetap yakin untuk mempamerkan prestasi terbaik untuk perlumbaan di depan penyokong tempatan, esok.

"Motosikal menunjukkan peningkatan daripada semalam dalam sesi kelayakan ketiga dan saya berharap dapat meneruskan kemajuan di sesi kelayakan keempat dan kelayakan tetapi ia tidak berlaku," kata pelumba berusia 24 tahun itu.

"Ini adalah kali pertama saya menunggang jentera MotoGP dalam keadaan hujan dan untuk beraksi dalam sesi kelayakan dengan keadaan sebegini adalah agak sukar kerana saya tidak mempunyai pengalaman.

"Namun, perlumbaan akan diawalkan esok dan saya harap ia akan menjadi perlumbaan di atas permukaan kering.

"Jujurnya, sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik tetapi ia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk melakukannya dari petak belakang.

"Sasaran saya ketika ini adalah menamatkan saingan dalam kedudukan mata (15 terbaik) dan memberi prestasi yang baik untuk penyokong, saya tidak mahu mengecewakan mereka. Sekiranya lebih daripada itu, ia satu bonus."

Hafizh bergelut dengan masalah brek dan ketika keluar daripada selekoh pada sesi awal latihan bebas, semalam.

Penampilannya di Sepang amat dinanti dengan dirinya muncul selaku pelumba negara pertama beraksi dalam kelas perdana di Kejuaraan Dunia ini.

Berita Harian X