Ahad, 28 Oktober 2018 | 11:20am
DANIEL Ricciardo
DANIEL Ricciardo

Ricciardo rebut petak utama GP Mexico

MEXICO CITY: Daniel Ricciardo mempamerkan pemanduan mengagumkan untuk mengatasi rakan pasukan dari Red Bull, Max Verstappen dan mencatat masa sepusingan terpantas untuk meraih petak utama Grand Prix Mexico pada sesi kelayakan awal pagi tadi dengan Lewis Hamilton menduduki tempat ketiga.

Selepas menyaksikan rakan pasukan berusia 21 tahun dari Belanda mendominasi setiap sesi latihan, pelumba Australia itu mempamerkan aksi menakjubkan untuk mencatat satu minit 14.759 saat, menewaskan Verstappen dengan perbezaan 0.026s sekali gus menyaksikan Red Bull menguasai petak hadapan.

Ia petak utama ketiga buat Ricciardo dan yang pertama buat pasukan itu sejak Grand Prix Amerika Syarikat 2013.

Penyandang juara Hamilton yang berusaha merangkul gelaran juara dunia kelima bermula dari petak ketiga buat Mercedes mengatasi seteru utama Sebastian Vettel dari Ferrari manakala Valtteri Bottas kelima dan Kimi Raikkonen dari Ferrari keenam.

Pelumba Jerman, Nico Hulkenberg menduduki tempat ketujuh mengatasi rakan sepasukan dari Renault, Carlos Sainz dan dua pelumba Sauber, Charles Leclerc dan Marcus Ericsson.

Verstappen meluahkan rasa kecewanya apabila impian untuk menjadi pelumba termuda meraih petak utama dalam sejarah perlumbaan F1 tidak kesampaian.

“Terima kasih legenda,” teriak Ricciardo dengan gembira menerusi radio pasukan.

“Saya masih tidak yakin ia pusingan terpantas tapi saya dapat bertenang sedikit. Saya meraih kejayaan terbesar dan berteriak kepada pasukan. Pasukan meraih kedudukan satu-dua.”

Verstappen tidak dapat menyembunyikan perasaannya. “Keseluruhan sesi kelayakan amat mengecewakan,” katanya.

“Saya berdepan masalah sama seperti ketika FP2. Enjin tidak seperti yang saya mahukan. Saya fikir masalah itu tidak akan berulang dengan masalah yang kami ada.”

Hamilton akan dinobat sebagai juara sekali lagi jika menewaskan Vettel dengan lima mata. - AFP

Berita Harian X