Sabtu, 27 Oktober 2018 | 8:17pm
MARC Marquez (kanan) meneruskan dominasi dengan meraih petak utama di GP Australia hari ini. - Foto AFP
MARC Marquez (kanan) meneruskan dominasi dengan meraih petak utama di GP Australia hari ini. - Foto AFP

Marquez raih petak utama, Hafizh ke-10

MELBOURNE: Juara dunia MotoGP,  Marc Marquez meneruskan dominasi musim 2018 dengan meraih petak utama manakala pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah di kedudukan ke-10 pada saingan kelayakan di Grand Prix (GP) Australia hari ini.

Pelumba Sepanyol yang sudah mengesahkan kejuaraan di Jepun minggu lalu walaupun masih berbaki tiga perlumbaan, meraih petak utama kelima berturut-turut di Australia dengan masa seminit 29.199 saat.

Bersama Marquez di barisan depan pada perlumbaan esok adalah rakan senegara Maverick Vinales (1:29.509) dan pelumba Perancis, Johann Zarco (1:29.705).

Pelumba Itali, Andrea Iannone muncul keempat terpantas di depan rakan sepasukan Alex Rins dan tumpuan peminat tempatan, Jack Miller.

Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi akan bermula di barisan ketiga bersama jentera Yamaha dengan pencabar kedudukan kedua kejuaraan pelumba dari Ducati, Andrea Dovizioso.

Wakil tunggal negara di MotoGP, Hafizh terus mempamerkan persembahan positif apabila melakukan 1:30.593s untuk berada di petak ke-10.

Ia mencetuskan harapan untuk pelumba berkenaan terus mempamerkan tunggangan terbaik menjelang perlumbaan esok selepas meraih kedudukan ke-10 GP Jepun sebelum ini. - REUTERS

Berita Harian X