Selasa, 23 Oktober 2018 | 11:00am
Sebastian Vettel dari Jerman dan Ferrari melihat di garaj semasa sesi ujian Grand Prix Formula Satu Amerika Syarikat di Litar Amerika pada 19 Oktober 2018. - Foto AFP
Sebastian Vettel dari Jerman dan Ferrari melihat di garaj semasa sesi ujian Grand Prix Formula Satu Amerika Syarikat di Litar Amerika pada 19 Oktober 2018. - Foto AFP

Vettel sedia kibar bendera putih

AUSTIN, Texas: Sebastian Vettel perlu mencipta kebangkitan terhebat dalam sejarah Formula Satu (F1) jika ingin menjuarai gelaran dunia kelimanya tahun ini tetapi pelumba Ferrari itu percaya ia sukar untuk dilaksanakan.

Pemandu dari Jerman itu perlu menang ketiga-tiga baki perlumbaan di Mexico, Brazil dan Abu Dhabi untuk berpeluang menewaskan seteru utamanya dari Mercedes, Lewis Hamilton dan ia juga mungkin tidak mencukupi.

Hamilton yang memenangi sembilan perlumbaan musim ini berbanding Vettel lima, memiliki kelebihan 70 mata selepas berakhir perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat dan hanya memerlukan lima mata untuk mengesahkan gelaran dunia kelimanya.

Malah pelumba Britain itu mungkin tidak memerlukan mata berkenaan jika Vettel tewas dan secara realistik, ia akan berakhir di Mexico City pada minggu ini.

Kali terakhir Hamilton mengharungi tiga perlumbaan tanpa mengutip sekurang-kurangnya lima mata berturut-turut adalah pada 2012 ketika dia bersama McLaren apabila gagal menamatkan perlumbaan di Valencia dan Jerman serta kelapan di Britain.

Ia tidak pernah berlaku ketika berlumba bersama Mercedes dan Hamilton tidak pernah mengharungi tiga perlumbaan berturut-turut tanpa mendaki podium dalam semusim sejak 2013.

Vettel pula tidak pernah memenangi tiga perlumbaan berturut-turut sejak melakukannya bersama Red Bull pada 2013.

Kali terakhir Ferrari menang di Mexico adalah pada 1990 tetapi ia tidak begitu dramatik kerana GP Mexico tidak dianjurkan dari 1993 hingga 2014 dan mereka juga tidak pernah menang di Abu Dhabi selepas sembilan tahun penganjuran.

Ketika ditanya mengenai peluangnya, Vettel membalasnya dengan senyuman. 

“Semakin mengecil,” kata Vettel yang menamatkan saingan di GP AS yang dimenangi rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen di tangga keempat.

Ditanya sama ada mampu untuk memenangi tiga perlumbaan terakhir, Vettel menjawab: “”Ya, mungkin empat atau lima terakhir.

“Setakat ini persembahan kami tidak begitu baik. Jelas sejak beberapa bulan lalu segala-galanya tidak begitu baik buat kami.” - Reuters

 

Berita Harian X