Ahad, 21 Oktober 2018 | 11:36am
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff (kiri) bersama Juara Dunia Formula Satu, Mercedes 'Lewis Hamilton menjelang Grand Prix Amerika Syarikat di New York. - Foto REUTERS
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff (kiri) bersama Juara Dunia Formula Satu, Mercedes 'Lewis Hamilton menjelang Grand Prix Amerika Syarikat di New York. - Foto REUTERS

Wolff risau Ferrari 'kacau daun'

AUSTIN: Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff gusar dengan kepantasan dimiliki Ferrari yang baginya mampu mengundang kekecewaan, meskipun Lewis Hamilton menyambar petak pertama untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi esok.

Biarpun ia satu kelegaan, namun Wolff berkata, beliau seperti dapat merasakan status juara bagi kejuaraan pemandu yang kini dipegang Hamilton mungkin tidak dapat diputuskan di Amerika, minggu ini.

“Saya amat gembira dengan petak pertama itu, tetapi ia sangat hampir dengan kelompok tiga teratas,” katanya. “Fikiran saya terarah kepada perlumbaan esok dan kami kurang kelajuan di laluan lurus, jadi saya jangka Ferrari akan menyerang kami.

“Saya mungkin berkata yang kamu tidak boleh mengenepikan Ferrari dan ia sangat hampir di sepanjang musim dan ia akan sama sehingga akhir musim.

“Ia mengenai bagaimana mendapatkan keputusan terbaik dalam perlumbaan dan sekiranya ia tidak berlaku esok, bagi kami, kami akan terus mencuba di Mexico dan terus melangkah ke depan.”

Pemandu Mercedes, Hamilton meraih petak pertama dengan jurang catatan amat kecil ke atas seteru utamanya dari Ferrari, Sebastian Vettel dalam pemburuan gelaran.

Meskipun berada di tangga kedua terpantas dalam sesi kelayakan, Vettel akan bermula dari petak kelima selepas meraih penalti tiga petak ketika sesi latihan, Jumaat lalu.

Ini bermakna, rakan sepasukan juara empat kali dunia - Vettel di Ferrari, Kimi Raikkonen akan bermula di barisan depan bersama Hamilton.  

Hamilton yang semakin hampir dengan gelaran kelima dunia jika mampu mengatasi Vettel dengan lapan mata berkata: “Ini sangat penting, ia amat rapat.

“Mereka (ferrari)!... Saya tidak tahu serapat mana. Saya tahu ia sengit antara kami dan mungkin memerlukan beberapa pusingan yang baik.

“Yang pertama adalah baik, tetapi tidak mencukupi dan yang kedua lebih baik. Terdapat beberapa perlumbaan yang saya tidak dapat melakukan sebaik mungkin, jadi saya gembira dengan kemampuan hari ini.

“Kita akan lihat apa yang berlaku nanti, tetapi Ferrari memang pantas. Saya harap cuaca yang baik untuk semua orang menyaksikan perlumbaan - dan saya harap ia satu perlumbaan yang menarik,” katanya. - AFP

Berita Harian X