Jumaat, 19 Oktober 2018 | 11:07pm
DANIAL Syahmi Ahmad Shahril.
DANIAL Syahmi Ahmad Shahril.

Danial tepati sasaran pentas podium

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara yang beraksi dalam perlumbaan Asia Talent Cup, Danial Syahmi Ahmad Shahril menepati sasaran apabila menamatkan Perlumbaan 1 di pentas podium.

Danial yang membolot dua kemenangan pada Grand Prix Thailand dua minggu lalu, melepasi garisan penamat di tempat ketiga pada perlumbaan sokongan bagi GP Jepun di Litar Motegi sebentar tadi selepas bersaing sengit dalam kelompok pendahulu yang didominasi pelumba tuan rumah.

Pelumba berusia 16 tahun itu ketinggalan 0.443 saat di belakang pemenang yang beraksi di laman sendiri, Takuma Matsuyama. Tempat kedua dimenangi rakan senegara Matsuyama, Sho Nishimura.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhamad Anuar Ibrahim Pawi menamatkan saingan di tempat ke-14.

Danial ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 127 mata manakala pelumba dari Australia, Billy Van Eerde mendahului carta dengan 153 mata selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Perlumbaan 2 dijadual pada jam 3.15 petang esok waktu Malaysia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X