Ahad, 14 Oktober 2018 | 8:20pm
ZAQHWAN Zaidi.
ZAQHWAN Zaidi.

Zaqhwan terlepas podium di Sentul

KUALA LUMPUR: Zaqhwan Zaidi terlepas peluang meraih podium keduanya di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia apabila menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di kedudukan keempat, hari ini.

Selepas menjejak podium apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ketiga semalam, pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu menamatkan 16 pusingan perlumbaan dengan catatan 24 minit 23.515 saat.

Catatan dilakukannya itu hanya 0.220s di belakang penghuni tempat ketiga dari Thailand, Ratthapong Wilairot (Yamaha Thailand Racing Team).

Gelaran juara menjadi milik pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar dari pasukan Astra Honda Racing Team dengan catatan terpantas, 24:18.014s diikuti Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) di tempat kedua dengan masa 24:21.200s.

Seorang lagi pelumba negara yang bersaing dalam kelas perdana SuperSports 600cc itu, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan catatan 24:27.910s.

“Saya akur dan berpuas hati di tempat keempat selepas bersaing sengit dengan Ratthapong,” kata Zaqhwan.

“Walaupun sedikit kecewa, namun saya masih berjaya mengumpul mata untuk menjadikan persaingan memburu gelaran keseluruhan kembali terbuka menjelang perlumbaan terakhir di Thailand nanti.”

Anthony West (Webike Ikazuchi Racing) yang tidak beraksi di Sentul masih kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 136 mata diikuti Azlan Shah, 102 mata.

Tempat ketiga dihuni Andi Farid yang mengumpul 99 mata, berkongsi mata dengan Yudhistira manakala Zaqhwan di kedudukan kelima, 94 mata.

Litar Antarabangsa Chang, Buriram, akan menjadi hos pusingan akhir ARRC dari 30 November hingga 2 Disember depan.

Keputusan

Perlumbaan 2

SuperSports 600cc:

1. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 24:18.014s

2. Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 24:21.200s

3. Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 24:23.295s

Kedudukan Keseluruhan:

1. Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 136 mata

2. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 102

3. Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing 99

Asia Production 250cc:

1. Awhin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team 20:37.542s

2. Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 20:37.580s

3. Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 20:45.417s

Kedudukan Keseluruhan:

1. Rheza Danica Ahren (INA) Astra Honda Racing Team 193 mata

2. Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing Team 126

3. Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 122

Underbone 150cc:

1. Md Haziq Md Fairues (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 18:26.338s

2. M. Agung Fahrul (INA) Orbit SND CNC Sporting 18:26.344s

3. Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 18:26.388s

Kedudukan Keseluruhan:

1. Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 164 mata

2. Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 122

3. Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 96

Berita Harian X