Khamis, 30 Ogos 2018 | 8:16pm
MOHAMAD Izzat Zaidi Salehan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Izzat intai podium Teluk Intan

KUALA LUMPUR: Izzat Zaidi Salehan akui laluan sukar bakal dilaluinya dalam usaha ‘mencuri’ kedudukan podium kelas CP150 di pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini, suka

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu sentiasa mempamer aksi konsisten, berada di kelompok hadapan namun gagal memecah monopoli barisan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing dan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang mendominasi kedudukan podium.

Kali terakhir dia berada di pentas podium selepas empat pusingan perlumbaan musim ini adalah di Jasin apabila berada di tempat ketiga.

“Saya perlu mengkaji kelemahan saya sewaktu di litar kerana jika diukur daripada sudut kepantasan jentera, kami tidak ketinggalan jauh berbanding pasukan lain dan kami bertiga sentiasa menempatkan diri dalam kelayakan Superpole," kata Izzat.

"Walaupun pelumba kedua-dua pasukan itu begitu mendominasi saingan, namun tidak ada yang mustahil dalam perlumbaan seperti ini. Malah perlumbaan juga sudah memasuki pertengahan musim.

“Saya yakin semua pasukan juga sudah mula mencapai tahap terbaik mereka. Pastinya perlumbaan di Teluk Intan minggu ini semakin sengit.”

Ketika ini, Izzat menghuni tangga keenam keseluruhan dalam kelas perdana itu dengan 34 mata, ketinggalan 56 mata di belakang pendahulu, Ahmad Afif Amran.

Berita Harian X