Ahad, 12 Ogos 2018 | 11:13pm
AKSI pelumba MotoGP pada saingan GP Austria di Spielberg, Austria, sebentar tadi. - Foto EPA
AKSI pelumba MotoGP pada saingan GP Austria di Spielberg, Austria, sebentar tadi. - Foto EPA

Hafizh terlepas mata di Austria

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 di GP Austria sebentar tadi.

Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 dalam kelas MotoGP terlepas peluang meraih mata apabila ketinggalan 0.27 saat di belakang seorang lagi pelumba muka baharu Takaaki Nakagami dari Jepun.

"Pada awal segala-galanya berjalan lancar, namun saya sedikit kecewa kerana tidak beraksi baik ketika pusingan kelayakan,” kata Hafizh yang bermula di petak ke-17.

"Ini adalah penampilan pertama saya di litar ini dalam saingan MotoGP. Bukan mudah menunggang dalam keadaan cuaca tidak menentu. Jentera cukup baik tetapi saya gagal menamatkan saingan di kedudukan lebih baik." 

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang itu masih mendahului gelaran pelumba muka baharu terbaik 2018 dengan pencabar terdekat Franco Morbidelli menamatkan saingan di tangga ke-19.

Lorenzo dinobatkan juara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 39.40.688s untuk mengatasi Marc Marquez hanya dipisahkan 0.13s di belakang.

Manakala rakan sepasukan Lorenzo, Andrea Dovizioso melengkapkan kemenangan 1-3 buat pasukan Ducati itu.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.

Pusingan seterusnya akan diadakan di Litar Silverstone pada 24-26 Ogos ini.

Berita Harian X