Sabtu, 4 Ogos 2018 | 10:03pm
HAFIZH Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech dari petak ke-16. - Foto AFP
HAFIZH Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech dari petak ke-16. - Foto AFP

Hafizh belum mahu mengaku kalah

 

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech dari petak ke-16 esok tatkala Andrea Dovizioso menyambar petak pertama di Sirkit Brno, sebentar tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu meraih rekod cemerlang pada sesi latihan bebas kedua semalam apabila berada di tempat keempat terpantas namun terjatuh pada sesi latihan bebas ketiga petang tadi yang menyaksikan dirinya berada di tempat ke-16.

Bagaimanapun, Hafizh yang kini mengimpikan gelaran muka baharu terbaik MotoGP 2018 bangkit pada sesi kelayakan dengan mencatat 1 minit 56.285 saat bagi memulakan perlumbaan esok dari barisan keenam.

"Sesi kelayakan yang begitu sengit buat saya," kata Hafizh. "Saya boleh memberi saingan kepada kelompok depan tetapi saya sedikit bergelut dengan tayar belakang jenis lembut.

"Apapun, kami tidak begitu jauh dengan Franco Morbidelli, yang muncul selaku muka baharu terpantas. Saya mahu mencari keserasian dengan pelarasan motosikal pada sesi pemanas badan esok pagi dan cuba mendapatkan permulaan perlumbaan yang baik.

"Saya ingin memohon maaf kepada pasukan dan juga penyokong apabila saya tidak dapat meraih posisi kelayakan yang lebih baik untuk memulakan perlumbaan dari petak yang lebih depan."

Turut berada di barisan bersama Hafizh nanti adalah pelumba Alma Pramac Racing, Jack Miller dan Stefan Bradl (HRC Honda Team).

Berita Harian X