Rabu, 1 Ogos 2018 | 6:16pm
AARON Chia dan Wooi Yik Soh antara pasangan yang dilihat berpotensi menjadi bintang dunia. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
AARON Chia dan Wooi Yik Soh antara pasangan yang dilihat berpotensi menjadi bintang dunia. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Aaron-Wooi Yik bintang dalam pembikinan

KUALA LUMPUR: Beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan penampilan mereka pada Kejohanan Badminton Dunia kali ini bukan sekadar pelengkap sebaliknya muncul sebagai antara pasangan yang dilihat berpotensi menjadi bintang dunia.

Aaron-Wooi Yik yang layak ke kejohanan di Nanjing, China itu pada saat-saat akhir susulan penarikan diri beberapa beregu negara lain terus bersinar apabila melakar kejutan ke atas pasangan ke-11 dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang 16-21, 21-18, 21-19 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Semalam, pemain berusia 21 dan 20 tahun itu turut melakar kejutan apabila menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Chung Eui Seok-Kim Dukyong 21-15, 21-18 dalam aksi pusingan pertama.

"Perlawanan hari ini (menentang Jhe Huei-Lee Yang) lebih sukar berbanding semalam. Namun, kami memang sudah melakukan persiapan dan berikan aksi terbaik.

"Kami tidak terlalu fikirkan kemenangan sebaliknya bermain dengan corak permainan kami sendiri," kata Aaron ketika dihubungi.

Bagaimanapun, satu lagi ujian besar menanti pasangan muda negara itu esok apabila dijadual bertemu pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam perebutan tempat ke suku akhir.

"Kami akan menggunakan pendekatan sama dan buat persiapan terbaik. Kami tidak gentar biarpun mereka adalah pemain reputasi tinggi," kata Aaron

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menundukkan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 21-16, 21-15.

Mereka diletakkan sandaran bagi menghadiahkan kilauan pingat buat Malaysia pada saingan kali ini dan akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari China, Li Junhui-Liu Chen dengan pasangan Jepun, Takura Hoki-Yugo Kobayashi, esok.

Berita Harian X