Sabtu, 28 Julai 2018 | 10:43pm
LEWIS Hamilton menyambar petak utama selepas merakam masa terpantas pada sesi ujian kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Hungary. - Foto EPA
LEWIS Hamilton menyambar petak utama selepas merakam masa terpantas pada sesi ujian kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Hungary. - Foto EPA

GP Hungary: Hamilton sambar petak utama

BUDAPEST: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton menyambar petak utama selepas merakam masa terpantas pada sesi ujian kelayakan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Hungary, sebentar tadi.

Pada saingan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu menyaksikan Hamilton membuktikan ketangkasannya berlumba dalam cuaca buruk apabila mencatat masa 1 minit 35.658 saat, meninggalkan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas yang muncul pemandu kedua terpantas.

Dua pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel masing-masing akan memulakan perlumbaan esok di petak ketiga dan keempat.

Enam hari selepas perlumbaan epik yang menyaksikan dia muncul juara pada GP Jerman biarpun bermula di petak ke-14, Ahad lalu, kali ini dia berjaya merekodkan petak hadapan keenam di Hungary, kelima tahun ini dan ke-77 sepanjang kerjayanya.

"Adakah kita baik?," tanya Hamilton kepada pasukannya menerusi komunikasi radio.

"Kita baik,"jawapan yang diterima Hamilton.

"Ia sesuatu yang hebat buat pasukan apabila dapat meraih dua petak hadapan. Ini sesuatu yang tidak dijangka," tambah Hamilton.

Pemandu Britain itu ketika ini mendahului Vettel dengan kelebihan 17 mata pada carta kejuaraan dunia.

Selepas Hungary, saingan F1 akan berehat seketika sempena pertengahan musim panas sebelum saingan kembali bersambung di Spa-Francorchamps pada hujung Ogos depan. - AFP

Berita Harian X