Khamis, 26 Julai 2018 | 7:26am
Bos Formula 1 Mercedes, Toto Wolf.
Bos Formula 1 Mercedes, Toto Wolf.

Mercedes jangka saingan sengit tiga penjuru di Hungary

BUDAPEST: Bos Mercedes Toto Wolf mengakui pasukannya yang sedang mendahului kejuaraan sekarang bergelut untuk menguasai perlumbaan dan menjangkakan Grand Prix Hungary hujung minggu ini bakal menampilkan satu lagi persaingan sengit tiga penjuru.

Hanya beberapa hari selepas menyaksikan Lewis Hamilton meraih salah satu daripada kemenangan paling hebat dalam kariernya di Jerman, Wolff akur jentera mereka bukan yang terpantas dalam perlumbaan di Hockenheim.

"Kita semua tahu tiada hadiah untuk juara separuh musim, jadi kami akan terus berusaha meningkatkan prestasi," kata Wolff.

Selepas 11 daripada 21 perlumbaan tahun ini, Hamilton dan Mercedes mendahului kedudukan pemandu dan pengeluar, tetapi dengan kelebihan tipis dan Wolff sedar ia memerlukan satu lagi perjuangan hebat, kali ini di bawah cuaca panas Hungaroring - berbeza dengan Hockenheim yang dibasahi hujan.

"Hungary akan menjadi satu lagi persaingan sengit dengan kedua-dua Ferrari dan Red Bull. Litar ini mempunyai daya tekanan ke bawah yang tinggi dan di atas kertas kedua-duanya cukup pantas. 

"Bagaimanapun, jika ada satu perkara yang kami dapat dipelajari di Grand Prix Jerman, ialah ramalan tidak menentukan keputusan sebenar," katanya. - AFP

Berita Harian X