Ahad, 15 Julai 2018 | 7:05pm
ADAM Norrodin. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ADAM Norrodin. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Adam raih 5 mata di Sachsenring

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mengutip mata di Grand Prix (GP) Belanda dua minggu lalu, pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin bangkit meraih lima mata apabila menamatkan perlumbaan GP Jerman di tempat ke-11, sebentar tadi.

Pelumba berusia 20 tahun itu yang memulakan saingan dari petak ke-16, melengkapkan 27 pusingan di litar Sachsenring dengan catatan masa 39 minit 42.037 saat (s) sekali gus mengumpul 24 mata selepas sembilan pusingan musim ini.

"Perlumbaan yang sukar apabila saya diasak pelumba lain dan tergelincir ke tempat ke-20 pada awal perlumbaan. 

"Namun,  saya bangkit dan akhirnya berjaya menamatkan saingan di tempat ke-11. Saya sangat gembira kerana mengutip mata penting untuk pasukan," katanya yang mengakui tidak selesa kerana bergelut dengan kecederaan lutut sebelum perlumbaan.  

Rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki bagaimanapun lebih pantas daripadanya apabila menduduki tempat ke-10 dengan catatan 39'41.913s untuk meraih enam mata sekali gus menghimpun 23 mata keseluruhan.

Seperti diramal, Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 yang bermula dari petak pertama muncul selaku juara dengan catatan terpantas, 39'36.427s.

Marco Bezzecchi dari pasukan Redox PruestelGP muncul selaku naib juara dengan catatan 39'38.942s manakala John McPhee (CIP - Green Power) melengkapkan podium, 39'38.998s.

Pusingan ke-10 yang juga pertengahan bagi musim 2018 dijadual berlangsung di GP Republik Czech, 5 Ogos ini di Sirkit Automotodrom Brno.

Keputusan Moto3 GP Jerman

1. Jorge Martin (SPA/Del Conca Gresini Moto3) 39'36.427s

2. Marco Bezzecchi (ITA/Redox PruestelGP) 39'38.942s

3. John McPhee (GBR/CIP - Green Power) 39'38.998s

4.Marcos Ramirez (SPA/Bester Capital Dubai) 39'39.363s

5.Aron Canet (SPA/Estrella Galacia 0,0) 39'39.455s...

10. Ayumu Sasaki (JPN/PETRONAS Sprinta Racing) 39'41.913s    

11. Adam Norrodin (MAL/PETRONAS Sprinta Racing) 39'42.037s

Berita Harian X