Sabtu, 14 Julai 2018 | 10:05pm
HAFIZH Syahrin Abdullah
HAFIZH Syahrin Abdullah

Hafizh harus ambil peluang ketiadaan Morbidelli

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah harus mengambil peluang dengan ketiadaan Franco Morbidelli yang mengalami kecederaan dan tidak akan menyertai perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman, esok.

Hafizh dan dan Morbidelli bersaing sengit dalam carta muka baharu kelas MotoGP dengan pelumba Monster Yamaha Tech3, Hafizh mengekori rapat pendahulu dari pasukan EG 0,0 Marc VDS itu dengan perbezaan dua mata.

Morbidelli yang mengalami kecederaan di bahagian tangan kirinya ketika sesi latihan bebas pertama semalam mendahului senarai berkenaan dengan 19 mata manakala Hafizh 17 mata di tangga kedua selepas lapan pusingan musim setakat ini.

Slot Morbidelli dilaporkan bakal digalas bekas pelumba MotoGP, Stefan Bradl yang kali terakhir membuat penampilan di kelas perdana itu pada 2016 bersama Aprilia Racing Team Gresini.

Pada sesi kelayakan di litar Sachsenring sebentar tadi, Hafizh mencatatkan masa sepusingan 1 minit 21.460 saat sekali gus menyaksikan dirinya bakal memulakan perlumbaan esok dari petak ke-18 manakala Bradl ke-21.

"Pada sesi petang, saya berasa lebih baik berbanding pagi tadi, di FP3 (sesi latihan ketiga), saya cuba mencari pelarasan yang baik tetapi akhirnya sedikit bergelut.

"Apapun, untuk dua sesi selepas waktu tengahari, pasukan menemui motosikal yang terbaik buat saya yang digunakan pada FP4 dan melakukan banyak percubaan untuk lebih bersedia untuk perlumbaan nanti.

"Pada penghujung sesi kelayakan, saya sedikit gementar tetapi saya percaya yang saya boleh lebih 0.2 atau 0.3 saat lebih pantas. Oleh itu, kami mungkin berkemampuan untuk memberi saingan dan cuba berada dalam kelompok 15 terbaik. Apapun, kami sudah semakin hampir.

"Saya akan cuba melakukan permulaan yang baik esok dan memberi saingan sengit bagi mendapatkan mata buat pasukan. Saya berharap dapat bersaing dengan rakan muka baharu saya (Takaaki) Nakagami yang dilihat begitu kuat di sini," kata Hafizh.

Petak pertama disambar pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dengan catatan masa sepusingan terpantas, 1'20.270s sekali gus meneruskan grid pertama kedua berturut-turut selepas GP Belanda dua minggu lalu.

Petak kedua menjadi milik Danilo Petrucci dari pasukan Alma Pramac Racing (1'20.295s) manakala pelumba Ducati, Jorge Lorenzo melengkapkan barisan pertama dengan catatan 1'20.327s.

Berita Harian X