Sabtu, 30 Jun 2018 | 10:23pm
ADAM Norrodin
ADAM Norrodin

Adam mula dari belakang akibat penalti

 

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda esok dari petak ke-30 yang juga paling akhir selepas dikenakan 12 grid penalti oleh steward perlumbaan.

Selain Adam turut dikenakan penalti ialah rakan sepasukan PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki; SKY Racing Team VR46, Dennis Foggia; Honda Team Asia, Kaito Toba; Angel Nieto Team Moto3, Albert Arenas dan Jakub Kornfeil dari pasukan Redox PruestelGP.

Adam yang meraih tangga ke-12 pada sesi kelayakan sebentar tadi bagaimanapun optimis dengan perlumbaan esok dan yakin masih ada ruang untuknya memburu penamat lebih baik di Sirkit TT Assen itu.

"Pada sesi kelayakan, kami melakukan banyak pertukaran ke atas jentera, jadi pada awal sesi, saya tahu motosikal OK tetapi masih ada kekurangan dan apabila sampai di pertengahan saingan, kami turut melakukan pertukaran di bahagian depan," kata Adam yang dikenakan penalti berkenaan kerana menunggang terlalu perlahan pada sesi latihan berkenaan, semalam.

"Apabila saya memasuki selekoh terakhir, motosikal amat baik dan saya berasa yakin dengan jentera. Apapun saya mengakui dengan kesalahan dilakukan ketika sesi latihan bebas kedua.

"Disebabkan kesalahan itu, saya dikenakan penalti dan akan bermula dari grid terakhir esok, ia memalukan tetapi ia memang salah sendiri dan saya perlu menanggungnya.

"Apapun bagi saya, perlumbaan masih belum berakhir, saya mempunyai sesi kelayakan yang baik selain berasa yakin dengan jentera, jadi masih ada ruang untuk mengubahnya.

"Kita boleh lihat pada tahun ini, ramai yang bermula dari belakang dan kemudian berada di kelompok depan. Jadi ini mungkin masa untuk saya melakukan sesuatu dan saya akan cuba yang terbaik esok."

Pelumba Del Conca Gresini Moto3, Jorge Martin dari Sepanyol menyambar petak depan yang juga kelimanya setakat ini apabila mencatat masa sepusingan paling pantas, 1'42.039s.

Ketika ini, Adam, 20, menduduki tangga ke-20 dalam carta pelumba Moto3 dengan 19 mata keseluruhan manakala Sasaki ketinggalan dua mata daripadanya di tangga ke-21.

Berita Harian X