Ahad, 17 Jun 2018 | 8:43am
HAFIZH Syahrin Abdullah. - Foto AFP
HAFIZH Syahrin Abdullah. - Foto AFP

Hafizh mahu atasi debaran GP Catalunya

 

KUALA LUMPUR: Pelumba baharu terbaik dalam kelas MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad untuk terus memberikan aksi mantap meskipun pesaingnya Takaaki Nakagami bakal bermula dari petak lebih selesa di Grand Prix (GP) Catalunya, hari ini.

Pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh ketika ini berkongsi 17 mata dengan Franco Morbidelli dalam carta berkenaan manakala Nakagami ketinggalan 10 mata di tangga ketiga.

Hafizh yang bakal bersama pasukan sama musim depan menamatkan sesi kelayakan semalam dengan catatan 1 minit 39.879 saat untuk bermula dari petak ke-14 manakala Nakagami yang memasuki sesi kelayakan 2, ke-12.

"Jujurnya saya sedikit kecewa dengan diri sendiri," kata Hafizh. "Mungkin saya sedikit gementar, keputusan agak baik dari semalam sehingga FP4 (sesi latihan bebas).

"Dengan keadaan yang panas, saya kehilangan cengkaman di bahagian belakang di selekoh tiga dan ia menjadi punca kenapa saya tidak dapat mempertingkatkan catatan masa sepusingan dari pagi lagi (semalam) tetapi saya teruja dengan perlumbaan esok (hari ini) kerana saya mempunyai kelajuan yang baik.

"Nakagami tidak terlalu jauh daripada saya dan saya bertekad untuk meraih permulaan perlumbaan yang baik selain terus mencuba dan melihat apakah yang bakal berlaku nanti. Saya juga akan melihat apakah peranan yang boleh dilakukan ketika perlumbaan nanti."

Pusingan ketujuh musim ini menyaksikan pelumba Ducati Jorge Lorenzo bakal bermula dari petak hadapan selepas kali terakhir dilakukannya bersama Yamaha di Valencia pada tahun 2016.

Perlumbaan bagi kelas perdana itu dijadual berlangsung di Sirkit Barcelona-Catalunya pada jam 8 malam ini.

Berita Harian X